Ramadhan 1429

20 Ramadhan 1429

Siaran lansung dari Masjid Tuaran. Ceramah Ramadhan melalui KITA.fm pada jam 4 petang. Selamat mendengar.
Hadis Hari Ini,

Selasa, 30 September 2008

Tazkirah Syawal - Kita Zuriat Adam, Bukan Zuriat Iblis

 

Allah mengulangi kisah Adam dan Iblis di beberapa tempat dalam al-Quran. Barangkali bagi mereka yang kurang memahami al-Quran akan menganggap itu adalah pengulangan biasa yang tidak memberikan apa-apa impak yang berlainan. Sebenarnya, sudah pasti tidak!

Al-Quran adalah kitab yang tersusun dengan segala mukjizat yang membuktikan kebesaran Allah Yang Menurunkannya. Pengulangan cerita itu disebabkan faktor-faktor tersendiri yang menuntut kisah Adam dan Iblis itu dibangkitkan semula. Kisah tersebut adalah tonggak panduan kepada kehidupan manusia atas muka bumi ini.

Kisah Adam dan Iblis diketahui oleh semua muslim, bahkan ia juga terkandung dalam Bible. Ringkas ceritanya Iblis yang enggan memberikan penghormatan kepada Adam seperti mana yang Allah perintahkan. Bahkan dia mempertikaikan arahan tersebut. Lantas dia dihukum kufur dan dilaknat.

Sementara Adam yang ditempatkan di syurga, kemudiannya telah ditipu oleh Iblis yang menyebabkan dia melanggar arahan Allah agar jangan mendekati pokok larangan. Kesannya, dia dihukum dengan ditempatkannya di atas muka bumi namun disertai dengan keampunan dan rahmat Allah.

Firman Allah dalam Surah al-Baqarah, ayat 34-37:

(maksudnya) Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada malaikat: "Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam", lalu mereka semua tunduk melainkan Iblis; dia enggan dan takbur, dan menjadilah dia daripada golongan yang kafir. Dan Kami berfirman: "Wahai Adam! Tinggalah engkau dan isterimu dalam syurga, dan makanlah daripada makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua sukai, dan janganlah kamu berdua hampiri pokok ini; (jika kamu menghampirinya) maka akan menjadilah kamu daripada golongan zalim. Setelah itu maka syaitan menggelincirkan mereka berdua dari syurga itu dan menyebabkan mereka dikeluarkan dari nikmat yang mereka telah berada dalamnya dan Kami berfirman: "Turunlah kamu! sebahagian kamu menjadi musuh kepada sebahagian yang lain dan bagi kamu semua disediakan tempat kediaman di bumi, serta mendapat kesenangan hingga ke suatu masa (mati)". Kemudian Nabi Adam menerima dari Tuhannya beberapa kalimah (kata-kata pengakuan taubat yang diamalkannya), lalu Allah menerima taubatnya; sesungguhnya Allah, Dia lah Yang Maha Pengampun (Penerima taubat), lagi Maha Mengasihani".

Pada mereka yang tidak faham kisah ini mungkin menganggap adanya 'double standard' dalam hukuman Tuhan terhadap dua makhluknya yang berbeza. Setiap mereka telah melakukan satu kesalahan, tetapi yang satu dihukum begitu berat sehingga kiamat, sementara satu yang lain dihukum dengan hukuman yang tidak kelihatan terlalu berat, bahkan diampun dan dirahmati.

Sekali pandang tanpa penelitian, mungkin ada yang tersalah anggap, seakan Iblis memang sengaja hendak dihukum demikian rupa, sedangkan Adam pula diampunkan, padahal sama-sama melakukan satu kesalahan.

Sebenarnya tidak! Sama sekali tidak sama antara kesalahan Iblis dan Adam. Iblis menderhakai Allah atas kesombongan dan ketakaburan. Dia bukan sahaja tidak taat kepada arahan Allah, tetapi dia mencabar peraturan atau hukum yang telah Allah tetapkan. Dia menganggap hukum itu tidak wajar, sekaligus dia mencabar kemutlakan hak Allah dalam menetapkan hukum.

Sementara Adam melakukan penderhakaan disebabkan kecuaian, kesilapan dan mengikut perasaan sehingga melupai hukum. Dalam Surah al-A'raf, Allah menceritakan bagaimana jawapan Iblis terhadap penderhakaannya, firman Allah: (maksudnya):

"Apakah yang menghalangmu untuk sujud ketika Aku perintahkanmu?" Iblis menjawab: "Aku lebih baik daripada Adam, Engkau (Wahai Tuhan) jadikan daku daripada api, sedangkan dia Engkau jadikan dari tanah". (ayat 12).

Namun Adam yang juga bersalah tidak pernah mencabar peraturan Allah. Adam tidak pernah menyatakan bahawa kewujudan pokok berkenaan di syurga amat tidak sesuai dan boleh mengelirukan maka dia tidak patut dianggap bersalah. Tidak pula Adam mempertikaikan mengapa Iblis itu diwujudkan dan diberi peluang menggodanya.

Sebaliknya, dengan penuh keinsafan dan perasaan kehambaan akur atas kesalahan diri lantas memohon keampunan dan taubat. Dalam Surah al-A'raf juga Allah menyebut: (maksudnya)

"Dengan sebab itu dapatlah dia (Iblis) menjatuhkan mereka berdua (ke dalam larangan) dengan tipu dayanya. Setelah mereka memakan (buah) pohon itu, terdedahlah kepada mereka berdua aurat masing-masing, dan mereka mulailah menutupnya dengan daun-daun (daripada) syurga lantas Tuhan mereka menyeru mereka: "Bukankah Aku telah melarang kamu berdua dari pokok itu, dan aku katakan kepada kamu, bahawa syaitan itu adalah musuh kamu yang nyata?" Mereka berdua berkata: "Wahai Tuhan kami, Kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalaulah Engkau tidak mengampunkan kami dan kasihani kami, nescaya kami tergolong daripada orang-orang yang rugi". (ayat 22-23).

Kesalahan memang kesalahan. Namun titik tolak kesalahan dan sikap atas kesalahan amat berbeza antara Iblis dan Adam. Iblis bukan sahaja menderhaka, bahkan mempertikaikan atau meremehkan peraturan Allah.

Sedangkan Adam dan isterinya, apabila melakukan dosa, menginsafi diri dan memohon keampunan Allah atas dosa tersebut. Justeru itu, hukuman Allah ke atas dua makhluknya tersebut tidak sama disebabkan perbezaan nilai kesalahan, bukan kerana Tuhan itu menghukum secara 'double standard'.

Kisah Iblis dan Adam diulang berkali-kali dalam al-Quran agar kita mengambil pengajaran dalam kehidupan. Setiap ulangan ada isu dan pengajarannya yang tersendiri. Kita seperti bapa kita Adam, terdedah kepada salah dan silap, cuai dan alpa yang akhirnya menjerumuskan kita ke dalam dosa.

Namun, seperti mana bapa kita Adam, kita tidak akan mempertikaikan hukum atau peraturan yang Allah tetapkan. Kita akui kelemahan diri, tanpa kita menghalalkan kesalahan dan dosa dengan alasan yang menunjukkan kita meremehkan hukum Tuhan.

Kita bukan Iblis yang apabila berdosa bersikap takabur dan enggan akur atas kelemahan diri, sebaliknya menuding sesalahan kepada peraturan yang Allah tetapkan. Sesiapa yang bertindak seperti Iblis, maka dia menjadi kafir. Sementara sesiapa yang bersikap seperti Adam, maka dia mendapat keampunan tuhannya.

Allah menceritakan kisah bapa kita Adam, agar kita mencontohinya apabila melakukan kesalahan. Melakukan kesalahan bukan perkara yang paling menimbulkan kemurkaan Allah, tetapi enggan akur dan bertaubat itulah membawa kemurkaan besar di sisiNya.

Kita anak Adam, teladani sikap bapa kita. Sabda Nabi s.a.w.

"Semua anak Adam melakukan kesalahan. Sebaik-baik yang melakukan kesalahan itu ialah mereka yang bertaubat" (Riwayat al-Tirmizi, Ibn Majah, dinilai hasan oleh al-Albani).

Kisah Adam dan Iblis menjadi paksi dalam banyak episod kehidupan insan. Sebab itu dalam Islam sesiapa yang membuat dosa dan menghalalkan tindakannya maka dia menjadi kafir. Sementara sesiapa yang membuat dosa namun tidak menghalalkannya maka dia dianggap sebagai seorang fasiq (ahli dosa), namun tidak membawa kepada kufur. Melainkan jika dia bertaubat.

Ini seperti sesiapa yang tidak berpuasa Ramadan tanpa sebab yang diizinkan oleh syarak, maka dia berdosa dan menjadi fasik. Namun jika dia menghalalkan perbuatannya itu seperti menyatakan 'bagi aku tidak salah jika aku tidak berpuasa pun', atau dia mempertikaikan hukum seperti dia menyatakan 'syariat puasa itu tidak sesuai atau tidak ada sebarang faedah untuk kita ikut' maka dia menjadi kafir, terkeluar dari Islam. Ini kerana dia mempertikaikan atau mencabar Allah Yang Maha Agung.

Perbuatan yang seperti itulah yang dilakukan oleh Iblis lalu dihukum kufur oleh Allah. Sama juga dengan pelaku dosa. Jika seseorang berzina maka dia berdosa dan fasiq (fasik). Namun, jika menghalalkan perbuatan zina seperti menyatakan 'apa salahnya jika suka sama suka', atau dia menyatakan 'jika pasangan dah rela, mana boleh berdosa', atau menyebut 'zina macam sedekah, jika orang bagi tidak salah kita mengambilnya' maka pengucap ungkapan-ungkapan yang seperti ini terkeluar dari Islam. Ini kerana dia telah mempertikaikan hukum Allah dan mencabar apa yang telah ditetapkanNya.

Dia seperti Iblis, yang mempertikaikan arahan Allah. Melainkan jika dia hilang akal atau gila atau apa sahaja yang menunjukkan dia tidak bermaksud mempertikaikan, atau meremehkan hukum Allah sama sekali

Saya amatlah terkejut apabila ada 'orang politik' yang sanggup menyamakan zina yang dia akui melakukannya dengan sedekah yang disuruh oleh Islam. Sanggup dia menghalalkan perbuatannya yang buruk itu atas alasan dia diumpan oleh orang lain, maka itu baginya macam sedekah yang jika 'diberi boleh diambil'.

Alangkah buruk perbuatan dan akidahnya. Dia samakan perkara yang Allah murka dengan perkara yang Allah suka. Apa yang lebih pelik, tidak pula kedengaran dengan jelas tokoh-tokoh agama dalam kem politik 'si celupar itu' mengulas perkara ini. Padahal ramai di kalangan mereka yang begitu tangkas dan cepat bertindak jika ada ucapan-ucapan yang menyalahi agama dibuat oleh musuh-musuh politik mereka.

Bahkan ucapan yang masih lagi samar dan boleh diberi maksud yang berbagai pun dibantai sampai tidak cukup tanah. Tiba-tiba apabila kena giliran sahabat sendiri yang mengucapkan perkataan yang buruk lagi parah itu, ramai yang menyepi diri. Tiada yang berani menyuruh dia bertaubat dan menarik balik secara terbuka, bukan menyuruh orang lain 'berbahasa' untuknya.

Di mana isu-isu agama dan moral yang diperkatakan selama ini? Ternyata, hukuman politik berbau agama tidak sama dengan pendirian agama mengenai isu politik. Bukan saya ingin bermusuh dengan sesiapa. Kolum saya ini telah mengambil risiko menegur rakyat dan pemerintah. Apakah mereka hanya dapat terima apabila saya menegur pemerintah, tetapi membantah jika mereka ditegur? Atau apakah mereka hanya berani menegur pemerintah dan mendiamkan diri apabila kesalahan itu dibuat oleh 'geng sendiri'?.

Sabda Nabi s.a.w:

"Sesungguhnya yang membinasakan mereka yang terdahulu dari kamu adalah; apabila orang yang berkedudukan mencuri maka mereka biarkan, jika orang yang lemah mencuri maka mereka laksanakan hukuman ke atasnya". (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Berbalik kepada kisah Adam dan Iblis. Kisah ini menjadi teras dalam akidah Islam. Islam agama yang akur bahawa insan sentiasa terdedah kepada dosa dan kesalahan. Selagi mana insan insaf bahawa kesalahan itu berpunca daripada kelemahan dirinya sendiri, dia mempunyai ruang untuk kembali dan bertaubat kepada Allah.

Namun apabila insan yang melakukan dosa itu sombong dan bongkak dengan merasakan dia tidak bersalah atas perbuatannya, maka tempatnya bersama dengan Iblis yang menghuni tetap neraka yang amat dahsyat. Firman Allah dalam Surah Sad:

(maksudnya) (setelah selesai kejadian Adam) maka sujudlah sekalian malaikat, semuanya sekali, -Melainkan Iblis; dia berlaku sombong takbur (mengingkarinya) serta menjadilah dia dari golongan yang kafir. Allah berfirman: "Hai lblis! apa yang menghalangmu dari turut sujud kepada (Adam) yang Aku telah ciptakan dengan kekuasaanKu? Adakah engkau berlaku sombong takbur, ataupun engkau dari golongan yang tertinggi? Iblis menjawab: "Aku lebih baik daripadanya; Engkau (Wahai Tuhanku) ciptakan daku dari api, sedang dia Engkau ciptakan dari tanah". Allah berfirman: "Kalau demikian, keluarlah engkau daripadanya, kerana eesungguhnya engkau adalah makhluk yang diusir. dan sesungguhnya engkau ditimpa laknatKu terus menerus hingga ke hari kiamat!". Iblis berkata: " Wahai Tuhanku! jika demikian, berilah tempoh kepadaku hingga ke hari mereka dibangkitkan (hari kiamat) ". Allah berfirman: " Dengan permohonanmu itu, maka sesungguhnya engkau dari golongan yang diberi tempoh, hingga ke hari yang termaklum ". Iblis berkata: "Demi kekuasaanmu (Wahai Tuhanku), aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali hamba-hambaMu (zuriat Adam) yang dibersihkan". Allah berfirman: "Maka Akulah Tuhan Yang sebenar-benarnya, dan hanya perkara Yang benar Aku firmankan -Demi sesungguhnya! Aku akan memenuhi neraka jahannam dengan jenismu dan dengan orang-orang yang menurutmu daripada zuriat-zuriat Adam (yang derhaka) semuanya ". (ayat 73-85).

Setiap kita ini ada kelemahan diri dan kesalahan yang kita lakukan. Namun sebagai insan yang merupakan zuriat Adam, kita sentiasa akur atas kelemahan dan kesalahan, inginkan keampunan serta memohon kemaafan Tuhan selalu. Kita tidak akan mempertikaikan apa yang telah Allah nyatakan dalam kitabNya al-Quran atau dalam sunnah yang sahih daripada Nabi Muhammad s.a.w.

Jika kita gagal melaksanakan perintah Allah, atau melanggar larangannya kita akan akui kelemahan diri, memohon agar dikurniakan taubat yang ikhlas. Sama sekali kita tidak kata hukum Allah tidak baik. Atau tidak sesuai. Atau halal dan haram itu sama sahaja. Atau, bagiku perkara yang Allah haramku itu tidak haram. Tidak! Sama sekali tidak! Hanya pengikut Iblis yang mengucapkan seperti itu. Kita akan menyebut apa yang Allah ajar:(maksudnya)

"Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. (Surah al-Baqarah, ayat 286).

Isnin, 29 September 2008

Tazkirah Syawal - HUKUM-HUKUM FIQH DALAM MENYAMBUT HARI RAYA

 
Oleh : Al-Faqeer Ahmad Akhyari Ismail

AIDUL FITRI
berasal dari perkataan `aid, adalah diambil dari kata al-`audu (kembali), manakala fitrah membawa maksud kemurnian dan kesucian. Pada hari tersebut kaum muslimin kembali menikmati tahun kembalinya kebahagiaan dengan kemurnian dan kesucian, lantaran banyaknya anugerah Allah kepada hambaNya di hari itu.

Pada Hari Raya `Aidil Fitri, ummat Islam disunatkan menunaikan solat sunat Aidil Fitri secara berjamaah. Menurut Imam Taqiyuddin Al-Hussaini, dalam kitabnya Kifayatul Akhyar, bahawa Rasulullah s.a.w. pertama kali melakukan solat hari raya adalah Solat Hari Raya Aidil Fitri di tahun ke 2 Hijrah dan pada tahun itu juga telah difardukan Zakat Fitrah kepada ummat Islam, demikian pandangan Imam Al-Mawardi.

HUKUM SOLAT `AIDIL FITRI

Hukum menunaikan solat Hari Raya Aidil Fitri itu adalah sunat, hal ini berdasarkan pertanyaan seorang Arab Badwi ( A'rabi ) kepada Rasulullah : "Apakah ada kewajipan selain solat lima waktu ? Jawab Rasulullah : Tidak ada, melainkan ia dituntut melakukannya (tathawwu`a).

Solat Aidil Fitri hendaklah ditunaikan antara terbit matahari sehingga tergelincirnya matahari, menurut pendapat pertama. Pendapat yang kedua mengatakan bahawa belum masuk waktu apabila metahari belum naik kadar segalah. Qaul yang shahih adalah pendapat yang pertama.

Sembahyang Hari Raya, dilakukan dengan dua rakaat, kerana adanya dalil-dalil dan ijmak ulamak. Sembahyang Hari Raya Fitri atau Hari Raya Adha disertai pada rakaat pertama 7 kali takbir dan 6 kali tahmid. Pada rakaat kedua disertai pula 5 kali takbir dan 4 kali tahmid.

Diriwayatkan bahawasanya Nabi Muhammad s.a.w bertakbir pada salat Hari Raya Fitri dan Hari Raya Adha pada rakaat yang pertama tujuh kali sebelum membaca Al-Fatihah, dan pada rakaat yang kedua lima kali sebelum membaca Al-Fatihah. Hadis ini diriwayatkan oleh Imam At-Tarmizi dan beliau mengatakan bahawa martabat hadis ini hasan. Imam Bukhari mengatakan pada bab ini bahawa tidak ada hadis yang lebih sahih daripada hadis ini.

Di antara tiap-tiap dua takbir hendaklah berhenti sejenak sekira-kira cukup untuk membaca suatu ayat yang sederhana panjangnya dengan membaca tasbih, tahmid dan tahlil. Amalan berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Al- Baihaqi dari Ibnu Mas'ud yang berbentuk perbuatan (Hadis Fi'li). Tasbih ertinya membaca "Subhanallah". Tahmid ertinya membaca "Alhamdulillah". Tahlil ertinya membaca "Laa ilaaha illallaah wallahu Akbar ". Di dalam bacaan ini terkumpul bermacam-macam zikir yang diperintahkan di dalam salat. Bacaan ini juga dinamakan Al-baqiyatus Shalihat sebagaimana yang dikatakan oleh Ibnu Abbas dan sebahagian Ulama'. Seandainya seseorang imam terlupa bertakbir dan langsung membaca Al-Fatihah, maka hilanglah kesunnatannya.

Pada salat Hari Raya hendaklah imam membaca Al-Fatihah pada rakaat yang pertama, diikuti membaca pula Surah Qaaf selepasnya dan pada rakaat yang kedua membaca Surah Al-Qomar hingga akhirnya. Demikianlah menurut riwayat Imam Muslim.

Bacaan Al-Fatihah dan surah hendaklah dikuatkan bacaannya, kerana hukumnya sunnat menurut ijmak ulama'. Demikian pula digalakkan menguatkan bacaan takbir, tasbih dan tahmid.

Setelah salat selesai disunatkan berkhutbah dengan dua khutbah, berdalilkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dari Ibnu `Umar r.a : "Bahawasanya Rasulullah s.a.w, Abu Bakar dan Umar selalunya melaksanakan Salat Hari Raya sebelum khutbah "

Jadi seandainya imam berkhutbah sebelum salat, maka khutbahnya itu tidak dianggap sah menurut qaul yang sahih yang dinaskan oleh Imam Syafi'i. Pengulangan khutbah itu diqiaskan dengan khutbah Jumaat. Dalam masalah ini tidak ada hadis yang tetap menurut kata Imam An-Nawawi di dalam kitab Al- Khulasah.

Pada khutbah yang pertama disunatkan memulainya dengan takbir sembilan kali, manakala pada khutbah yang kedua disunatkan memulai dengan takbir tujuh kali.

TEMPAT MELAKSANAKAN SOLAT `AIDIL FITRI

Salat Hari Raya itu boleh dilakukan tempat lapang. Jika solat `Aidil fitri dilakukan di Makkah, maka di Masjidil Haram adalah lebih utama, tanpa ada khilaf. Syeikh As-Shaidalani menyamakan kedudukan taraf Masjid Al-Aqsa, Baitul Maqdis dengan Masjidil Haram. Bagi tempat selain Makkah, adalah lebih baik dilakukan di tempat lapang, terutamanya ketika keadaan masjid yang penuh sesak, bahkan ketika itu (masjid penuh sesak) adalah manjadi makruh sembahyang di masjid, menurut sesetengah pendapat ulama' Syafi`iyyah. Jika ada keuzuran seperti hujan, maka di masjid adalah lebih utama. Akan tetapi jika masjid luas dan mampu menampung keseluruhan jemaah yang hadir, maka mendirikan di masjid adalah lebih utama menurut pendapat yang sohih.

PERLAKSANAAN TAKBIR

Disunatkan bertakbir dan bertahmid, bermula waktu terbenam matahari (maghrib) pada kedua-dua malam Hari Raya `Aidil fitri dan `Aidil Adha. Adalah menjadi suatu `ibadah yang sunat, untuk dilaungkan di masjid, rumah atau di pasar-pasar, supaya dalam keadaan bersesak itu orang ramai akan turut serta bertakbir dan bertahmid bersama. Bahkan digalakkan setiap masa samada ketika waktu malam mahupun waktu siang. Semua golongan samada yang bermukim mahupun yang musafir digalakkan bertakbir dan bertahmid kerana ia adalah syi`ar yang utama bagi umat Islam.

Hal ini telah difirmankan oleh Allah s.w.t. : " Dan hendaklah kamu sekelian mengagungkan Allah atas apa yang telah ditunjukkan oleh Allah kepada kamu sekalian." (Al-Baqarah : 185)

Imam Al-Bukhari meriwayatkan hadis Ummu `Athiyah, beliau berkata : " Kami sekalian diperintahkan keluar pada solat dua hari raya sehingga wanita yang haid pun keluar, kemudian menempatkan diri di belakang kaum muslimin, mereka turut bertakbir mengiringi takbir kaum muslimin ".

Sementara dalil takbir bagi Hari Raya `Aidil Adha, hanya diqiaskan dengan Hari Raya `Aidil Fitri. Berakhirnya takbir untuk Hari Raya `Aidil Fitri adalah apabila imam telah takbiratul ihram Solat Sunat Hari Raya, menurut qaul yang shahih.

Apakah takbir itu disunatkan sesudah solat-solat fardu pada Hari Raya `Aidil Fitri? Dalam hal ini terdapat khilaf di kalangan ulama' Syafi`iyyah. Di dalam kitab Ar-Raudhah, Imam An-Nawawi berpandangan bahawa, menurut pendapat yang ashah amalan bertakbir sesudah solat-solat fardu pada Hari Raya `Aidil Fitri tidak disunatkan, disebabkan tidak ada riwayat yang menyatakannya. Di dalam kitab Al-Azkar, Imam An-Nawawi mensahihkan bahawa sesudah solat-solat fardu pada Hari Raya `Aidil Fitri disunatkan bertakbir, sama seperti amalan di Hari Raya `Aidil Adha. Takbir dan tahmid pada ketika waktu tersebut adalah lebih utama daripada zikir-zikir yang lain, kerana takbir itu merupakan syi`ar Hari Raya.

Justeru itu, setiap ummat Islam hendaklah memastikan dan memelihara kesucian hari perayaan yang utama ini. Hari yang dipenuhi dengan kemurnian dan kesucian ini adalah merupakan anugerah kemenangan dari Allah s.w.t. kepada hambanya yang telah berjaya menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadhan. Sabda Rasulullah s.a.w. : Bagi orang yang berpuasa itu akan dikurniakan dua kegembiraan, kegembiraan ketika `Aidil Fitri dan kegembiraan ketika bertemu Allah s.w.t.

Sekian.

27 Ramadhan 1429
Dataran Darul Hadis,
Kg. Tok Keling, Alor Setar,
Kedah Darul Aman.

http://www.junududdakwah.blogspot.com/
http://www.e-muamalat.blogspot.com/

Tazkirah Syawal - Adab-adab menyambut Aidilfitri

 
ADAB MENYAMBUT HARI RAYA AIDILFITRI

Sebagai hadiah kemenangan orang-orang Islam dalam perjuangan mengengkang hawa nafsu di bulan Ramadhan Allah Subhanahu wa Ta'ala membalasnya dengan satu hari yang dinamakan 'Idulfitri atau Hari Raya Fitrah, di mana Allah Subhanahu wa Ta'ala menghalalkan mereka berbuka puasa dan mengharamkan berpuasa pada hari tersebut.

Dalam keghairahan menyambut Hari Raya yang mulia adalah wajar ianya disambut mengikut lunas- lunas yang digariskan oleh Syara' dan tidak dicampurbaurkan dengan perkara-perkara yang dilarang atau yang diharamkan.

Hari Raya memang tidak boleh disamakan dengan sambutan perayaan- perayaan yang lain, kerana ianya merupakan kurniaan Allah Subhanahu wa Ta'ala khusus kepada hamba- hamba yang beribadat dan berjuang melawan hawa nafsu sepanjang bulan Ramadhan.

Apakah adab-adab dan perkara-perkara sunat yang dilakukan ketika menyambut kedatangan Hari Raya?

Banyak fadilat atau kelebihan yang terdapat pada malam Hari Raya. Oleh sebab itu, di antara adab-adab dan perkara-perkara sunat yang telah digariskan oleh Syara' untuk kita melakukannya ialah menghidupkan malam Hari Raya itu dengan melakukan amal-amal ibadat seperti mendirikan sembahyang fardhu secara berjemaah, melakukan sembahyang sunat, bertakbir, memanjatkan doa ke hadrat Ilahi dan melakukan apa- apa jua bentuk perkara yang berkebajikan.

1. Berdoa di malam raya

Al-Imam Al-Syafie Rahimahullahu Ta'ala telah menegaskan bahawa malam Hari Raya itu adalah di antara malam-malam yang mudah diperkenankan doa, sebagaimana beliau berkata di dalam kitabnya Al-Umm: "Telah sampai kepada kami bahawasanya pernah dikatakan, sesungguhnya doa itu sungguh mustajab pada lima malam; malam Jumaat, malam Hari Raya Adha, malam Hari Raya Fitrah, awal malam Rajab dan malam Nisfu Sya'ban.

Perlu diingat juga, kelebihan menghidupkan malam Hari Raya itu tidak akan diperolehi melainkan dengan mengisi dan menghidupkan sebahagian besar malam tersebut, sebagaimana mengikut pendapat yang shahih.

2. Bertakbir Sepanjang Malam sehingga sebelum Solat Sunat Aidilfitri

Kemeriahan Hari Raya lebih dirasai apabila laungan takbir bergema. Namun begitu, tidak bermakna takbir itu semata-mata untuk memeriahkan suasana tetapi lebih dari itu, ianya lebih bersifat untuk melahirkan rasa kesyukuran dan mengagungkan Allah Subhanahu wa Ta'ala. Allah memerintahkan kepada kita mengakui akan kebesaran dan keagunganNya dengan mengucapkan takbir.

Ucapan takbir pada malam Hari Raya itu merupakan ibadah yang kita lakukan untuk melepaskan Ramadhan dan untuk menyambut kedatangan 'Idulfitri. Oleh sebab itu, disunatkan kepada kita mengucapkan takbir dengan mengangkat suara, bermula waktunya dari terbenam matahari malam Hari Raya sehingga imam mengangkat takbiratul ihram sembahyang Hari Raya. Firman Allah Ta'ala:

Tafsirnya: "Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjukNya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur."

(Surah Al-Baqarah : 185)

3. Mandi Sunat Aidilfitri

Di pagi Hari Raya pula disunatkan mandi kerana Hari Raya sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibnu 'Abbas dan Al-Fakih bin Sa'd Radhiallahu 'anhum bahawa Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam melakukan mandi pada Hari Raya Fitrah dan Hari Raya Adha. Hadits ini dikeluarkan oleh Ibnu Majah.

4. Memakai Pakaian yang Terbaik, menghilangkan bau yang tidak elok

Di samping itu disunatkan juga memakai pakaian yang sebagus-bagusnya, memakai harum-haruman dan menghilangkan segala bau-bau yang tidak elok. Tidak kira sama ada orang itu hendak keluar pergi ke masjid untuk menunaikan sembahyang Hari Raya ataupun duduk sahaja di rumah, kerana hari tersebut merupakan hari untuk berhias-hias dan berelok-elok. Diriwayatkan daripada Ja'far bin Muhammad daripada bapanya daripada datuknya:

Maksudnya: "Bahawasanya Shallallahu 'alaihi wasallam memakai kain yang bergaris-garis (untuk diperselimutkan pada badan) pada setiap kali Hari Raya."

(Hadits riwayat Al-Syafi'e dan Al-Baghawi)

5. Makan terlebih dahulu (seeolk-eloknya makan kurma dalam bilangan ganjil)

Sebelum keluar pergi ke masjid untuk menunaikan sembahyang sunat Hari Raya Fitrah disunatkan makan dan minum terlebih dahulu kerana mengikut apa yang dilakukan oleh Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam sebagaimana yang diriwayatkan daripada Anas Radhiallahu 'anhu, beliau berkata:

Maksudnya: "Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam tidak keluar pada waktu pagi Hari Raya Fitrah sehingga Baginda makan (terlebih dahulu) beberapa biji tamar dan Baginda memakannya dalam bilangan ganjil."

(Hadits riwayat Al-Bukhari dan Ahmad)

6. Mengucapkan tahniah


Selain itu, Hari Raya merupakan hari kemenangan dan kegembiraan, maka sebab itu disunatkan bagi sesama muslim saling mengucapkan tahniah antara satu sama lain dengan mengucapkan:

Ertinya: "Semoga Allah menerima daripada kita dan menerimaNya daripada awak."

Daripada Jubair bin Nufair, di mana beliau merupakan salah seorang Tabi'en (orang-orang yang datang setelah Sahabat Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam) telah berkata (maksudnya): "Sahabat- sahabat Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam apabila mereka berjumpa di Hari Raya, setengahnya mengucapkan kepada setengah yang lain:

Ertinya: "Semoga Allah menerima daripada kami dan menerimaNya daripada awak."

Menurut pandangan jumhur ulama bahawa mengucapkan tahniah di Hari Raya merupakan sesuatu perkara yang disyari'atkan di dalam Islam.

Al-Imam Al-Qalyubi menaqalkan daripada Al-Imam Ibnu Hajar bahawa memberi atau mengucapkan tahniah pada hari-hari raya, bulan-bulan dan tahun- tahun (kerana ketibaannya) merupakan perkara yang disunatkan. Al-Imam Al-Baijuri mengatakan: Inilah yang yang dii'timadkan.(Al-Mausu'ah Al-Fiqhiyyah, Juz 14, m.s. 100)

7. Ziarah menziarahi

Manakala itu pula, amalan saling ziarah menziarahi rumah terutama sekali saudara mara terdekat dan sahabat handai merupakan suatu tradisi yang sentiasa diamalkan ketika menyambut Hari Raya. Amalan ini juga sebenarnya termasuk di dalam perkara yang digemari dan disyariatkan di dalam Islam.

Dalil yang menunjukkan pensyariatannya sebagaimana yang diriwayatkan daripada Aisyah Radhiallahu 'anha, beliau berkata:

Maksudnya: "Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam masuk kepadaku, dan di sisiku ada dua orang anak perempuan yang menyanyi dengan nyanyian Bu'ats. Lalu Baginda baring di atas hamparan dan memalingkan mukanya, dan kemudian Abu Bakar masuk, lalu mengherdikku dengan berkata: "Seruling syaitan di sisi (di tempat) Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam!" Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam menghadap kepada Abu Bakar lalu berkata: "Biarkan mereka berdua itu." Melalui riwayat Hisyam Baginda menambah: "Wahai Abu Bakar, masing-masing kaum ada hari rayanya, dan hari ini adalah Hari Raya kita."

(Hadits riwayat Al-Bukhari)

Al-Hafizh Ibnu Hajar Al-'Asqalani menerangkan di dalam kitabnya Fath Al-Baari bahawa kedatangan atau masuknya Abu Bakar Radhiallahu 'anhu ke dalam rumah Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam menunjukkan seolah-olah Abu Bakar Radhiallahu 'anhu datang sebagai pengunjung atau penziarah selepas masuknya Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam ke dalam rumah Baginda.

(Al-Fath Al-Baari, Juz 3, m.s. 116 & Al-Mausu'ah Al-Fiqhiyyah, Juz 31, m.s. 117)

Sehubungan dengan perkara ziarah menziarahi ini, adalah ditekankan kepada orang yang pergi berziarah supaya sentiasa komited terhadap etika ziarah yang ditetapkan oleh Islam. Umpamanya hendaklah meminta izin atau memberi salam sebelum masuk, tidak menghadapkan muka langsung ke arah pintu, menjaga adab kesopanan ketika berada di dalam rumah orang yang diziarahi, memilih waktu yang sesuai untuk berziarah dan sebagainya.

8. Tetap menjaga disiplin sebagai seorang Islam yang beriman

Dalam keghairahan menyambut Hari Raya, perlu diingat jangan sekali-kali sampai lupa kewajipan kita kepada Allah Ta'ala iaitu mendirikan sembahyang fardhu, dan kerana terlalu seronok jangan pula adanya berlaku perlanggaran batasan-batasan agama.

Apa yang di harapkan daripada sambutan Hari Raya sebenarnya bukannya semata-mata kegembiraan atau keseronokan tetapi yang lebih penting dan lebih utama lagi ialah mendapatkan keberkatan dan keredhaan Allah Subhanahu wa Ta'ala. Semoga kita semuanya mendapat keberkatan dan keredhaan Allah Subhanahu wa Ta'ala kerana menghidupkan, membesarkan dan mengagungkan Hari Raya Idulfiri.

Tazkirah Syawal - Aidilfitri hari kemenangan dan kesyukuran

 
KEDATANGAN satu Syawal adalah saat yang dinanti-nantikan oleh umat Islam setelah sebulan melalui ujian Allah s.w.t. Melalui segala rintangan agar dapat merasai keperitan hidup insan yang kurang bernasib baik. Dan satu Syawal adalah natijah untuk kita mela-hirkan kesyukuran di atas segala kesem-pumaan melalui ujian Allah itu.

Elok diterangkan serba sedikit sejarah bermulanya hari raya dalam syariat Islam sebelum membicarakan tata susila amalan menghidupkan Aidilfitri ini.

Mengikut catatan yang muktabar, hari raya yang kita raikan kini telah disyariat-kan oleh Islam secara sempurna sejak tahun kedua hijrah Rasulullah s.a.w ke Madinah Al-Munawarah.

Di peringkat awal kedatangan Islam, masyarakat ketika itu sama ada sudah memeluk Islam atau tidak mempunyai hari perayaan dan kebesaran yang dinamakan "nairuuz" dan "mahrajan". Kedua-dua hari perayaan ini disambut dengan mengadakan majlis suka ria.

Rasulullah s.a.w sebagai pemimpin agung dan pembawa rahmat sekelian alam tidak mengambil tindakan yang boleh menyinggung perasaan mana-mana pihak untuk mengubah tradisi ini. Baginda sebaliknya melakukan penelitian dan kemudian bersabda:

"Sesungguhnya Allah telah menggantikan dua hari raya kaum itu dengan dua hari raya yang lebih baik dan kedua-duanya itu ialah hari raya Aidilfitri dan hari raya Aidiladha."

Masyarakat ketika itu tidak membantah apa yang disarankan oleh Rasulullah s.a.w dengan sabdanya itu.

Puasa bulan Ramadhan tahun ini sudah berakhir setelah mental dan fizikal kita dilatih selama sebulan dan seperti biasa berakhir apabila Aidilfitri menjelang tiba. Pengakhiran ini bermakna bermulalah kembali gelanggang perjuangan yang amat berat untuk mengatasi dan mengendalikan hawa nafsu yang menjadi sumber kebinasaan manusia.

Setelah menjalani ujian dan cubaan sepanjang bulan Ramadhan maka sudah sewajarnya kita menyambut ketibaan hari raya dengan penuh gembira sebagai tanda kemenangan dan kesyukuran.

Bagi orang yang telah berjaya menjalani ujian di bulan Ramadhan, Syawal adalah detik kembali kepada asal fitrah tanpa sebarang dosa dan noda. Oleh sebab itulah apabila fajar Syawal menjelang setiap muslim disunatkan menyiapkan diri pada awal pagi untuk merayakan Aidilfitri dengan gembira tetapi tidaklah berlebihan.

Hari raya disambut dengan membe-sarkan Allah s.w.t dengan cara mengucap takbir dan tahmid dari malam hari raya hinggalah di pagi Syawal esok harinya sebelum menunaikan solat sunat Aidilfitri.

Zakat fitrah yang diwajibkan ke atas setiap umat Islam seboleh-bolehnya hendaklah disampaikan kepada fakir miskin sebelum hari raya agar mereka dapat bersama-sama saudara Islam yang lain menyambut hari kebesaran ini dengan penuh bermakna. Islam tidak mahu di hari bahagia ini ada insan lain yang kelaparan atau kekurangan makanan sementara golongan berada bergembira dalam keadaan mewah dan bermegah-megah dengan kumpulan elit mereka.

Ada dua cara merayakan Aidilfitri yang boleh mententeramkan jiwa. Pertama dengan mengingati saudara Islam yang kurang bernasib baik, menderita dan ditimpa malang. Kita wajib memberi

lebihan rezeki yang ada dengan berfitrah kepada mereka. Kita patut bersedekah dengan rezeki yang berlebihan selain mengeluarkan zakat fitrah.

Amalan ini hendaklah disertai dengan rasa kasih sayang dan kesedaran bahawa manusia ini sama darjatnya di sisi Allah s.w.t. Hanya orang-orang yang bertaqwa sahaja yang lebih mulia.

Kedua, merayakan hari raya dengan mengingati Allah s.w.t. Banyakkan ber-takbir, tahmid dan bertahlil sebelum menunaikan solat sunat Aidilfitri sebagaimana yang disebutkan oleh Allah dalam Al-Quran yang bererti:
"Sesungguhnya berbahagialah dan jayalah orang yang membersihkan dirinya dengan mengeluarkan zakat fitrah, dan ia mengingati Allah dengan menyebut nama Allah lalu menunaikan solat." (Surah Al-Ala 14 - 15)
Kita bertakbir membesar dan mengagungkan Allah s.w.t kerana Dialah yang memberi petunjuk kepada kita hingga dapat melaksanakan ibadah puasa. Maka sebagai tanda syukur dan merendah diri adalah wajar dipanjangkan ketaatan kita kepadaNya.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Nairn daripada Anas yang menggalakkan kita bertakbir di hari raya ialah hadis yang bermaksud:
"Hiasilah dua hari raya kamu dengan membaca dan mengucapkan tahlil, takbir dan takdis."

Bagaimanapun keadaan sebaliknya berlaku pada hari ini. Ada sebahagian umat Islam yang keterlaluan ketika merayakan hari raya yang mulia ini. Bukan sahaja pembaziran malah ada yang merayakan hari kebesaran Islam ini dengan mengunjungi tempat-tempat yang dila-rang oleh syarak.
Oleh kerana itu adalah sangat digalakkan kita mengucapkan takbir dan tahmid di pagi raya dengan menjiwainya dalam erti kata sebenar setiap kalimah mulia itu supaya jiwa berada dalam keadaan tenang. Tidak bererti sama sekali jika kita mengalunkan kalimah-kalimah itu dengan suara merdu sedangkan pengertiannya tidak dapat dihayati.

Pengertian takbir yang dijiwai sepenuhnya menyedarkan kita hamba Allah yang lemah di dunia yang fana ini tidak mempunyai apa-apa yang boleh dibanggakan. Kekayaan, kekuasaan, kegaga-han, kecantikan dan ketampanan yang dimiliki hanyalah pinjaman dari Allah s.w.tyang Maha kaya dan Maha berkuasa daripada segala makhluk yang ada. Se-mua yang diperolehi itu hanyalah dengan izin Allah s.w.t jua.

Apabila Allah menghendaki dan memerlukan kembali pemberian itu dari kita maka dengan sekelip mata sahaja ia akan hilang dan musnah.
Oleh itu kita sebagai umat Islam harus insaf di hari raya supaya tidak terlanjur dan keterlaluan dalam kehidupan. Begitu juga dalam mempergunakan apa yang dimiliki, kita harus sedar apa yang dimiliki adalah semata-mata titipan Allah s.w.t.

Demikianlah pimpinan Islam terhadap umatnya untuk merayakan Aidil Fitri yang mulia. Di samping memakai pakaian cantik dan kemas serta bau-bauan, elok kita melapangkan dada memberi maaf kepada mereka yang datang memohon maaf.

Begitu juga sebaliknya kita hendaklah memohon kemaafan dari insan lain apabila berlaku salah silap dengan ikhlas hati dan hukannya sekadar melepaskan batuk di langga.

Bermaaf-maafan dan berkunjung dari rumah ke rumah juga sudah menjadi kebiasaan dan tradisi hidup bermasyarakat masa ini. la tidaklah menyalahi syarak bahkan sangat digalakkan sebagai tanda penghubung silaturahim sesama Islam. Seelok-eloknya yang muda menziarahi yang tua, anak menziarahi ibu bapa seterusnya aturan hidup dalam masyarakat Islam yang sebenar.

Namun harus diingat bahawa bermaaf-maafan menurut Islam tidaklah hanya setahun sekali iaitu di hari raya sahaja. Islam mengajar umat manusia agar menjadi insan yang suka bermaaf-maafan.

Jadi sikap bermaaf-maafan itu tidak hanya ditentukan oleh ruang waktu. Mudah-mudahan kita termasuk dalam golongan orang-orang yang kembali kepada kebenaran dan mendapat petunjuk dari Allah s.w.t, mendapat syafaat dari Rasulullah s.a.w serta memperoleh kemenangan di atas kekuatan iman dan ketaqwaan yang dimiliki.

http://al-futhuhat.blogspot.com

Tazkirah - 30 - Aidilfitri didik umat bertakwa

 

Orang berpuasa lebih sempurna kejayaannya jika dihiasi dengan kesyukuran kepada Tuhan

Petang ini umat Islam akan melihat anak bulan Syawal 1429 Hijrah (H). Jika melihatnya maka pada Selasa umat Islam akan menyambut hari kemenangan melawan hawa nafsu mereka, Aidilfitri. Jika tidak, maka hari yang diharap-harapkan oleh mereka akan jatuh pada Rabu. Bagaimanapun, dalam kedua-dua senario ini Aidilfitri akan menjelma dan umat Islam akan gembira.

Tujuan disyariatkan puasa pada Ramadan adalah agar orang yang melaksanakan ibadat puasa itu akan menjadi orang yang bertakwa seperti tersurat dalam ayat 183 surah al-Baqarah. Dan sifat ketakwaan makro boleh kita dapat pada awal Surah sama iaitu maksudnya: "Iaitu orang yang beriman kepada perkara yang ghaib, dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian rezeki yang Kami berikan kepada mereka. Dan juga orang yang beriman kepada Kitab (al-Quran) yang diturunkan kepadamu (wahai Muhammad), dan kitab yang diturunkan terdahulu daripada mu serta mereka yakin akan (adanya) hari akhirat (dengan sepenuhnya). Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka, dan merekalah orang yang berjaya." (Ayat 3-5)

Ia bermakna orang yang berpuasa akan menjadi graduan dengan ijazah takwa dan dia termasuk dalam golongan berjaya. Kejayaannya itu akan sempurna jika dihiasi dengan bersyukur kepada yang memberi nikmat untuk melaksanakan puasa sepanjang Ramadan.

Bersyukur menurut Imam Ghazali dalam bukunya Ihya 'Ulumiddin adalah memanfaatkan potensi anugerah Allah berikan untuk melaksanakan amal kebaikan dan mencegah kemungkaran.

Ketika anda dalam keadaan sihat badan dan fikiran kemudian anda menggunakannya untuk melaksanakan kebaikan dan mencegah kemungkaran, maka anda menjadi orang yang bersyukur.

Ketika anda diberikan rezeki kemudian anda membelanjakannya untuk melaksanakan kebaikan dan mencegah kemungkaran, maka anda menjadi orang bersyukur.

Ketika anda memperoleh ijazah takwa kemudian anda menggunakannya untuk melaksanakan kebaikan dan mencegah kemungkaran, maka anda menjadi orang yang bersyukur.

Dalam bertadarus al-Quran tahun ini, penulis terpegun dengan pendedahan ayat sucinya yang mana dalam surah Ghafir atau al-Mukmin bersyukur dikaitkan dengan nikmat, manakala kejadian alam semesta dikaitkan dengan ilmu, alam minda dikaitkan dengan zikir dan keadaan akhirat dikaitkan dengan iman.

Ayat itu bermaksud: "Demi sesungguhnya, menciptakan langit dan bumi (dari tiada kepada ada) lebih besar (dan lebih menakjubkan) daripada menciptakan manusia dan menghidupkannya semula (sesudah matinya); akan tetapi kebanyakan manusia (yang mengingkari hari kiamat) tidak mengetahuinya. Dan sememangnya tidaklah sama orang yang buta dan orang yang celik, dan juga tidaklah sama orang-orang yang beriman serta beramal soleh dengan orang yang melakukan kejahatan. (Meskipun hakikat ini jelas nyata, tetapi) sedikit sangat kamu beringat dan insaf.

Sesungguhnya hari kiamat tetap akan datang, tidak ada sebarang syak mengenai kedatangannya; akan tetapi kebanyakan manusia tidak beriman (akan hakikat itu)… Allah yang menjadikan malam untuk kamu supaya kamu berehat padanya, dan menjadikan siang terang benderang (supaya kamu berusaha). Sesungguhnya Allah sentiasa melimpah-limpah kurnia-Nya kepada seluruh manusia seluruhnya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur." (Ayat 57-59, 61)

Bersyukur adalah berterima kasih dan nikmat bererti enak, sedap, lazat, kurnia, anugerah dan sebagainya. Kedua-duanya sama-sama berasal dari bahasa Arab. Syukur nikmat ertinya berterima kasih atas suatu anugerah atau pemberian. Dalam hal ini nikmat datang daripada Allah SWT. Dan nikmat yang paling berharga adalah nikmat iman dan Islam yang mana takwa adalah natijahnya.

Apabila kita perhatikan jenis atau macam nikmat kita boleh mengkategorikannya ke dalam dua jenis iaitu pertama nikmat fizikal atau jasmani yang dirasai oleh tubuh kita seperti nikmat sihat, nikmat makanan dan minuman, dan nikmat bersetubuh. Dan kedua nikmat mental atau rohani yang dirasai oleh roh atau jiwa kita seperti nikmat ilmu pengetahuan, nikmat akal fikiran dan nikmat perasaan.

Bagi menzahirkan kesyukuran, kita boleh melakukannya dengan beberapa cara termasuk pertama bersyukur dengan hati dan perasaan seperti menghindari perilaku buruk yang dibenci Allah dan manusia termasuk kikir, fasik, mungkar, keji, dendam, sombong, takbur, munafik dan sebagainya; selalu ingat kepada Allah SWT dan juga mengingat mati dan memiliki perasaan cinta kepada Allah SWT dan Rasul-Nya melebihi apapun juga.

Kedua bersyukur dengan mulut dan ucapan seperti terbiasa membaca al-Quran atau tadarus; menyebarkan dan mengajarkan ilmu yang dimiliki; selalu ingat Allah dengan berzikir di manapun dan bila-bila masa dengan mengucapkan tahlil, tahmid, istiqhfar, hauqalah, takbir, ta'awwuz, dan sebagainya dan sentiasa berdoa kepada Allah untuk mendoakan diri sendiri, keluarga, kerabat, musuh dan lain-lain.

Ketiga bersyukur dengan amal perbuatan seperti melakukan ibadat solat lima waktu; melaksanakan ibadat puasa wajib dan sunat; melaksanakan semua perintah Allah SWT dan menjauhi semua larangan-Nya dan melaksanakan ibadat zakat serta haji jika mampu dan memenuhi syarat.

Keempat, bersyukur dengan harta benda seperti membantu orang yang memerlukan pertolongan kewangan; menabung di bank Islam; membangunkan mushala, masjid, sekolah, jambatan dan sebagainya dan menderma.

Jadi, sebagai tanda syukur kita kepada Allah yang menjadikan kita orang yang bertakwa menerusi pensyariatan puasa Ramadan, maka sudah sewajarnya kita memanfaatkan ketakwaan itu untuk mengikhlaskan hidup dan mati kita untuk-Nya. Kita kembalikan rasa syukur kita ini kepada Allah dan jangan kita mencemarinya dengan perbuatan bercanggah dengan sifat syukur kepada-Nya.

Kita sebagai orang yang mengaku Tuhan kita adalah Allah, perlulah membezakan diri kita dalam bersyukur dengan sifat seekor anjing. Sebagai contoh, sebuah rumah ada tuan rumah, orang gaji dan seekor anjing. Setiap hari tuan rumah menyuruh orang gaji memberi makan kepada anjing. Sedari itu, setiap kali anjing melihat dan berjumpa orang gaji, pasti akan digoyang-goyangkan kakinya, goyang-goyang ekor menunjukkan tanda suka seekor anjing. Tetapi apabila tuan rumah datang, maka si anjing tadi akan menyalak, sedangkan yang sebenarnya yang memberi makan adalah tuan rumah terbabit. Maka, jika kita tidak bersyukur pada Allah, mungkin boleh disamakan dengan anjing.

Jika kita bersyukur di atas ketakwaan yang diberikan kepada kita oleh Allah maka ketakwaan kita akan bertambah sebagaimana tersirat dalam ayat yang bermaksud: "Dan (ingatlah) tatkala Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepadamu." (Surah Ibrahim: 7)

Oleh itu, sebagai wujud kesyukuran kita kepada Allah pada Aidilfitri ini dan pada hari berikutnya sampai Ramadan kembali lagi, kita mestilah menjauhi perkara yang membatalkan ketakwaan kita seperti membazirkan harta dan masa, menolak permohonan maaf dan tidak mengendahkan ajaran Islam. Sebaliknya kita mesti membebaskan diri daripada dibelenggu tipu daya syaitan yang terkutuk. Taqabbalallahu ta'atakum! INFO: Cara umat zahir kesyukuran

  • Bersyukur dengan hati dan perasaan seperti menghindari perilaku buruk yang dibenci Allah dan manusia termasuk kikir, fasik, mungkar, keji, dendam, sombong, takbur, munafik dan sebagainya.
  • Bersyukur dengan mulut dan ucapan seperti biasa membaca al-Quran atau tadarus; menyebarkan dan mengajarkan ilmu yang dimiliki.
  • Bersyukur dengan amal perbuatan seperti melakukan ibadat solat lima waktu; melaksanakan ibadat puasa wajib dan sunat; melaksanakan semua perintah Allah SWT dan menjauhi semua larangan-Nya dan melaksanakan ibadat zakat serta haji jika mampu dan memenuhi syarat.
  • Bersyukur dengan harta benda seperti membantu orang yang memerlukan pertolongan kewangan; menabung di bank Islam; membangunkan mushala, masjid, sekolah, jambatan dan sebagainya dan menderma.

    Jadi, sebagai tanda syukur kita kepada Allah yang menjadikan kita orang yang bertakwa menerusi pensyariatan puasa Ramadan, maka sudah sewajarnya kita memanfaatkan ketakwaan itu untuk mengikhlaskan hidup dan mati kita untuk-Nya. Kita kembalikan rasa syukur kita ini kepada Allah dan jangan kita mencemarinya dengan perbuatan bercanggah dengan sifat syukur kepada-Nya.

  • Tazkirah - 29 - RAMADAN MENJANA PENGHAYATAN BERZAKAT

    Manusia diciptakan semata-mata untuk menyembah Allah Azza Wa Jalla. Bagi memastikan manusia menyembah dan beribadah kepada Allah, maka Allah SWT telah menurunkan agama atau syariat-Nya yang menerang dan menjelaskan tanggungjawab manusia sebagai hamba Allah.

    Namun demikian sebahagian daripada kita telah mengabaikan perintah Allah sekalipun panduan, pengajaran dan amaran diberitahu melalui al-Qur'an dan As-Sunnah. Sifat sesetengah daripada kita yang mengingkari dan mengabaikan perintah-perintah agama ini antaranya dinyatakan oleh Allah SWT dalam surah al-Ma'un ayat 1-3:

    Maksudnya: " Tahukah engkau akan orang yang mendustakan agama (meliputi hari pembalasan)?. Orang itu ialah yang menindas serta berlaku zalim kepada anak yatim. Dan ia tidak menggalakkan untuk memberi makanan yang berhak diterima oleh orang miskin ".

    Demi menyedarkan hamba-Nya, Allah telah mensyariatkan bulan Ramadan sebagai bulan yang dikhususkan untuk mendidik manusia agar menjadi muslimin dan muslimat yang tekun beribadah, banyak beristighfar, giat membaca dan mentadabbur ayat-ayat al-Qur'an serta menghayati akhlak dan peribadi mulia.

    Di kesempatan ini, mimbar Jumaat ini ingin menyatakan satu pengajaran penting dalam ibadah puasa yang diwajibkan supaya berlapar dan dahaga. Sesungguhnya kewajipan berpuasa adalah merupakan latihan secara praktikal kepada setiap muslim agar memiliki hati dan perasaan yang penuh insaf dan simpati akan nasib golongan-golongan fakir dan miskin yang berada dalam masyarakat. Perasaan teramat lapar dan dahaga oleh setiap orang yang berpuasa diharapkan agar timbulnya perasaan simpati dan belas kasihan kepada golongan susah yang ketiadaan makanan, pakaian dan tempat tinggal. Sesungguhnya semua umat Islam bertanggungjawab membela dan menyelamatkan kesempitan hidup golongan yang kurang bernasib baik ini. Kealpaan kita membela golongan-golongan yang memerlukan ini dicerca oleh Allah SWT sepertimana firman Allah dalam surah al-Ma'un ayat 1-3 yang dibacakan tadi

    Islam tidak menyenangi umatnya keterlaluan dalam menikmati kemewahan. Ini dibuktikan daripada keperibadian Rasulullah SAW yang diriwayatkan selepas kewafatan baginda hanya meninggalkan seekor keldai putih, sebilah senjata dan sebidang kecil tanah sahaja. Tegasnya, Allah menyukai hamba-Nya yang 'berada' agar dapat membela dan membantu golongan fakir miskin.

    Firman Allah SWT dalam surah At-Taubah ayat 103:

    Maksudnya: "Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah supaya dengannya engkau membersihkan mereka dan mensucikan mereka dan doakanlah untuk mereka. Sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui".

    Pengajaran Ramadan secara langsung agar kita perihatin dan membela golongan lemah juga seiring dengan kewajipan kita menunaikan zakat fitrah. Tanpa mengeluarkan zakat fitrah, pahala ibadah puasa Ramadan akan tergantung dan tidak dapat menjadi bekalan ke akhirat.

    Kewajipan ibadah ini terletak di atas bahu setiap muslim yang mempunyai lebihan makanan atau harta daripada keperluan dirinya dan tanggungannya pada malam dan pagi hari raya. Ini termasuk kanak-kanak yang dilahirkan sebelum matahari terbenam pada akhir bulan Ramadan dan hidup selepas terbenam matahari. Begitu juga orang yang meninggal dunia selepas terbenam matahari pada akhir Ramadan dan orang yang memeluk Islam sebelum terbenam matahari pada akhir bulan ramadan dan berkekalan Islamnya.

    Sesungguhnya zakat fitrah adalah salah satu daripada beberapa jenis zakat yang diwajibkan seperti zakat emas dan perak, zakat perniagaan, zakat binatang ternakan, zakat pertanian, zakat wang simpanan, zakat pendapatan dan saham, zakat galian, 'kunuz' dan 'rikaz'. Sehubungan itu Allah SWT telah menjanjikan ganjaran yang berlipat kali ganda kepada mereka yang menunaikan zakat dan memberi amaran keras kepada golongan yang meninggalkan ibadah berzakat.

    Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 261:

    Maksudnya: "Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah) Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaan-Nya, lagi meliputi ilmu pentetahuan-Nya".

    Mengakhiri khutbah ini, marilah kita berazam membela golongan fakir miskin dengan menunaikan zakat dan memperbanyakkan sedekah dengan menjadikan bulan Ramadan sebagai penjana diri khususnya dalam melaksanakan kewajipan menunaikan zakat dengan membayarnya di pusat-pusat pungutan zakat di seluruh negara di samping memperbanyakkan amalan menderma dan bersedekah terutama sepuluh terakhir Ramadan yang dijanjikan Allah dengan Lailatul Qadar. Lailatul Qadar satu malam yang pahalanya melebihi 1,000 bulan, insya Allah.

    Firman Allah SWT dalam surah al-Qadar ayat 1-5:

    Maksudnya: "Sesungguhnya Kami menurunkan (al-Qur'an) ini pada malam al-Qadar. Dan apa jalanya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam al-Qadar itu?. Malam al-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin tuhan mereka kerana membawa segala perkara. Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar".

    Sabtu, 27 September 2008

    Tazkirah - 28 - Hukum ziarah kubur pagi raya

     
    ZIARAH KUBUR PADA HARI RAYA.
    Soalan:
    "Ramai dari kalangan orang Islam menitik berat tentang ziarah kubur selepas menunaikan sembahyang hari raya, adakah disyariatkan ziarah seperti ini?"

    Jawapan Syeikh Athiyyah Saqr (Mantan Ketua Majlis Fatwa Al-Azhar) Hukum asal bagi ziarah kubur adalah sunnat, kerana ia boleh mengingatkan seseorang tentang hari akhirat.

    Di sebut di dalam hadis Nabi S.A.W sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dari Abu Hurairah R.A dia berkata:"Nabi S.A.W menziarahi kubur ibunya lalu dia menangis dan orang yang disampingnya juga menangis, kemudian dia bersabda:

    ( استأذنت ربي في أن أستغفرلها فلم يؤذن لي، واستأذنته في أن أزور قبرها فأذن لي، فزوروا القبور فانها تذكر الموت )
    Maksudnya:"Aku meminta izin dari Tuhanku untuk aku beristighfar baginya (bagi ibuku), maka Dia tidak memberi keizinan kepadaku, dan aku meminta izin untuk menziarahi kuburnya maka Dia (Allah) membenarkanku, maka ziarahilah kubur kerana ia boleh mengingatkan kepada kematian".

    Ibnu Majah meriwayatkan dengan sanad yang sahih sabda Nabi S.A.W:
     
    ( كنت نهيتكم عن زيارة القبور، فزوروا القبور فانها تزهد في الدنيا وتذكر الأخرة )
     
    Maksudnya:"Adalah aku dahulunya menghalang kamu dari menziarahi kubur, maka (sekarang) ziarahilah kubur, kerana ia boleh menjadikan kamu zuhud terhadap dunia dan mengingati akhirat".

    Ziarah kubur tidak mempunyai waktu yang tertentu. Sebahagian ulama' menyatakan bahawa pahalanya lebih besar pada hari-hari yang tertentu seperti hari Khamis dan Jumaat, kerana kuatnya hubungan di antara roh-roh dengan si mati. Pendapat ini tidak mempunyai dalil yang kuat.Dengan ini kita dapat simpulkan bahawa menziarahi kubur selepas dari sembahyang hari raya, jika ia bertujuan untuk mengambil peringatan dan mengingati mereka yang telah mati yang dahulunya bersama-sama mereka berseronok di hari raya, serta memohon rahmat dari Allah S.W.T untuk mereka dengan berdoa, ini semua tidak mengapa dilakukan oleh orang lelaki.Adapun bagi perempuan, hukum mereka menziarahi kubur telah dibincangkan pada jilid pertama, ms:588 dari kita fatwa ini.

    [Di dalam perbincangan tersebut, pendapat yang dipilih oleh sheikh ialah hukumnya makruh jika dibimbangi akan berlakunya perkara yang haram seperti meratap dan lain-lain, jika perkara haram tersebut tidak dapat dielakkan maka hukumnya adalah haram –ringkasan dari fatwa tersebut oleh penterjemah]Adapun jika menziarahi kubur selepas solat hari raya untuk memperbaharui kesedihan dan untuk menerima takziah di atas kubur, atau dengan mendirikan bangsal dan menyediakan tempat untuk menerima takziah, maka ia ditegah.

    Ini kerana takziah selepas dari mayat dikebumikan lebih dari tiga hari adalah dilarang, samada larangan dalam bentuk haram atau makruh. Juga kerana hari tersebut adalah hari raya, hari bergembira dan berseronok yang sepatutnya tidah ditimbulkan perasaan sedih padanya.[Ahsanul Kalam Fil-Fatawa Wal-Ahkam, Sheikh 'Athiyyah Saqr, Jilid: 6, MS: 646-647]

    Tazkirah - 27 - Musuh cari ruang, kesempatan sekat Islam

     

    Kewujudan musuh Islam di muka bumi ini bukanlah satu perkara baru. Ia telah bertapak dan berakar umbi sejak ratusan ribu tahun lalu sejak iblis dan syaitan mengisytiharkan penentangan mereka secara terbuka terhadap makhluk bernama manusia iaitu Nabi Adam a.s. walaupun ia adalah perintah daripada Allah yang mesti ditunaikan.

    Namun keengganan makhluk perosak itu untuk tunduk kepada Adam walaupun ia perintah Allah SWT telah tercatat dalam buku sejarah sebagai permulaan episod siri penentangan dan pertembungan antara hak dan batil di muka bumi ini.

    Apabila dunia semakin bertamadun, canggih dalam penemuan ilmu Sains dan Teknologi, bentuk penentangan juga menerima perubahan yang ketara. Ia tidak serupa penentangan yang pernah ditunjukkan oleh iblis ketika menentang Allah, tetapi bentuknya semakin berubah dari semasa ke semasa, yang penting penentangan itu dibuat bagi memastikan agar kekuatan Islam terhalang.

    Penentangan dibuat adalah untuk menunjukkan bahawa bukannya mereka (musuh-musuh Islam) tidak tahu bahawa Islam merupakan agama yang memelopori Sains dan Teknologi, akan tetapi kerana terdapat penyakit dalam hati yang tidak mahu mengiktiraf Islam sebagai agama yang membawa kebenaran dalam segenap keperluan hidup manusia.

    Sikap menentang dan benci yang meluap-luap terhadap Islam sudah berakar umbi dalam hati sanubari manusia dan tidak mahu melakukan perubahan diri menerima bahawa Islam adalah satu-satunya agama yang diperakui Allah SWT.

    Mereka sedar untuk mengurangkan jumlah tentera Islam dalam satu-satu peperangan bukanlah semudah yang disangka. Justeru mereka beralih bentuk dan pendekatan untuk memerangi umat Islam, mereka mencipta pelbagai bahan rekaan permainan (game) yang boleh melekakan golongan remaja terutama yang beragama Islam, menaja pelbagai bentuk sukan yang boleh dilibat oleh remaja muslim walaupun tajaan itu daripada syarikat pengeluar minuman keras.

    Musuh cari peluang rosakkan al-Azhar, al-Quran, Hari Jumaat dan Masjid al-Haram

    Perkara di atas pernah disebut oleh seorang tokoh ulama terkenal, Dr Abdullah Nasih Ulwan dalam bukunya 'Maza 'An as-Sohwat al-Islamiyyah fi 'Asr al-Hadis', di mana beliau ada menegaskan bahawa musuh-musuh Islam berusaha gigih bagi memastikan keempat-empat perkara di atas perlu dirosakkan dengan apa cara sekalipun.

    Beliau mendedahkan bahawa musuh Islam menyatakan kesungguhan mereka untuk menghancurkan keempat-empat aspek di atas, bagi mereka jika keempat-empat aspek tersebut berjaya dilakukan, maka umat Islam berada dalam keadaan terumbang-ambing.

    Dr Abdullah beranggapan bahawa jika Universiti al-Azhar berjaya dirobohkan institusi pembelajarannya, pasti tidak akan wujud lagi sarjana, cendekiawan Muslim seperti Dr Yusuf al-Qaradawi, Syeikh Mustafa Siba'ie dan Dr Abdul Halim Mahmud yang memiliki kekentalan jati diri, kefahaman Islam yang mendalam yang mampu mempengaruhi orang lain kepada Islam.

    Ini kerana universiti berkenaan menjadi pusat pengajian antarabangsa yang menerima kehadiran dan kebanjiran graduan yang datang daripada seluruh dunia untuk mendalam ilmu-ilmu Islam, ada di antara mereka menjadi tokoh-tokoh negarawan yang berjaya seperti Presiden Maldives, Dr Abdul Qaiyum yang merupakan lulusan al-Azhar. Tidak kurang juga yang menjadi tokoh-tokoh hebat dalam gerakan Islam seperti Syeikh Saiyid Sabiq dan Syeikh Muhammad al-Ghazali.

    Ringkasnya al-Azhar bagi mereka perlu dirobohkan, kalau tidak pun rosakkan sistem pembelajaran dan hubungan baik sedia ada terjalin di kalangan pelajar dan kakitangan universiti juga perlu dirosakkan, itulah yang telah mereka jalankan selama beberapa tahun.

    Al-Quran

    Al-Quran sebagai kitab panduan dan petunjuk kepada umat Islam seluruh dunia perlu dimasukkan di dalamnya unsur-unsur penyelewengan, pindaan agar ia tidak lagi menjadi rujukan dan bahan petunjuk kepada Muslim.

    Ini mereka telah lakukan dengan pembiayaan jutaan dolar Amerika bagi mencetak 50,000 naskhah untuk diagihkan ke negara Somalia yang mengalami krisis kebuluran pada awal lan puluhan dahulu.

    Penduduk Somalia yang kebanyakannya beragama Islam, mereka bukan sahaja diberi bantuan makanan, pada masa yang sama juga dibekalkan al-Quran yang telah dipinda ayat yang tidak diketahui mengenainya melainkan mereka yang mahir dengan al-Quran, tetapi Allah SWT tidak mahu kitab suci-Nya itu diseleweng, maka dilihamkan kepada para ulama membongkar kegiatan haram musah Islam.

    Ia tidak lain adalah untuk menjauhkan orang Islam daripada kitab rujukan mereka yang bertindak sebagai pemberi hidayah daripada Allah SWT.

    Hari Jumaat - Kebanyakan negara umat Islam tidak terkecuali daripada meneruskan kerja pada hari Jumaat, yang mengakibatkan ramai di kalangan muslim tidak mendapatkan sesuatu daripada penyampaian khutbah pada hari itu.

    Masjid al-Haram - Rumah Allah ini juga menjadi sasaran pihak musuh kerana berjaya menyatu-padukan umat Islam seluruh khususnya ketika menjalani ibadat haji, usaha perlu dilakukan bagi merobohkan masjid berkenaan agar umat Islam terus berpecah dan tidak lagi bersatu padu.

    Jumaat, 26 September 2008

    Tazkirah - 26 - Jadikan Ramadan ini yang terbaik

     

    Ustaz A Ghani Shamsudin

    SOALAN: Saya seorang Muslim yang sudah lama meninggalkan ajaran Islam secara serius, sama ada dalam bentuk kepercayaan, pegangan, dan dalam amal ibadat. Tetapi dalam kesempatan berkunjung ke surau berdekatan rumah untuk bersolat Tarawih pada tahun ini dan mendengar siri tazkirah, mula melahirkan bibit-bibit kesedaran untuk menjadi hamba Allah yang mempraktikkan Islam.

    Dalam salah satu siri tazkirah, ada disebut bahawa Sayidina Umar bin al-Khattab pun sebelum memeluk Islam, merupakan seorang yang ada cita-cita untuk membunuh Nabi Muhammad s.a.w. Bukan setakat itu, malah dia juga terbabit dalam menanam anak perempuannya pada zaman jahiliah, meminum arak, berfoya-foya, tetapi akhirnya selepas memeluk Islam jadi baik.

    Persoalannya, bolehkah saya boleh menjadi seperti beliau (Umar), sedangkan saya dilahirkan sebagai seorang Islam berbeza dengan beliau yang tidak Islam.�Saya ingin sangat nasihat atau kaunseling ustaz, bagaimana saya boleh menjadi seorang Muslim yang baik pada Ramadan kali ini. - Abdul Muhaimin Ismail, Kg Chalok Barat, Setiu, Terengganu

    JAWAPAN: Kesempatan hidup selama 60 atau 70 tahun di dunia ini perlu dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya. Tuhan serta agama yang benar dan betul perlu dicari agar nasib kita nanti di akhirat lebih baik dan beruntung. Orang yang malang ialah mereka yang gagal mencari tuhan dan jalan yang benar untuk hidup di dunia ini lalu dia dibakar api neraka di akhirat kelak.

    Jadi apabila saudara telah menemui agama dan tuhan yang sebenar saudara perlu istiqamah melaksanakan segala suruhan dan menghindari segala bentuk larangan-Nya. Jika tidak anda sama sahaja dengan manusia yang meraba-raba mencari tuhan dan jalan kehidupan yang diredainya.

    Kehidupan dan sejarah yang dilalui oleh para leluhur seperti Sayidina Umar itu adalah suratan takdir bagi beliau. Beliau hidup dalam zaman kegelapan jahiliah yang sangat pekat. Namun Allah telah mengangkat mertabat beliau menjadi sahabat Rasul yang kedudukannya bagaikan bintang di langit. Jihad dan kesungguhan serta sumbangan jasa bakti beliau ketika itu tidak boleh disamakan dengan kaadaan sekarang. Saudara hidup dalam zaman Islam sudah berkembang lama; walaupun sudah banyak yang ditinggalkan ajarannya.

    Apa yang penting ialah kita menunaikan ajaran Islam sepertimana yang diajar oleh Rasul dan sahabat-sahabat baginda. Dalam bulan Ramadhan ini kita disuruh menunaikan puasa pada waktu siangnya; kerana Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Siapa yang berpuasa Ramadan dengan sukarela kerana dorongan keimanan semata-mata maka dosa-dosanya diampunkan."

    Dalam sebuah hadis baginda menegaskan: "Dosa-dosa kecil seseorang berkaitan keluarga, harta dan jiran tetangganya dilupuskan oleh ibadat solat, puasa dan sedekah."

    Puasa juga menurut baginda ibarat benteng atau tembok yang sangat kukuh menghindarkan kita daripada api neraka.

    Dalam hadis lain pula baginda mengatakan: "Puasa dan amalan membaca al-Quran akan membantu seseorang itu pada hari kiamat kelak."

    Abdullah bin Amru meriwayatkan daripada Rasulullah bahawa baginda bersabda: �Puasa dan amalan membaca al-Quran akan membantu seseorang itu pada hari kiamat kelak. (Ketika itu) puasa akan berkata: "Hai Tuhan aku telah menghalangnya daripada menjamah makanan dan melempiaskan nafsu syahwatnya oleh itu ampunkanlah dosanya kerana itu. Quran pula akan berkata: Hai Tuhan aku telah menyebabkan dia kurang tidur pada waktu malam oleh itu maafkanlah kesalahannya kerana itu. Baginda berkata (akhirnya) dia diberi pelepasan." (Hadis riwayat Ahmad

    Pada bulan Ramadhan anda boleh memulakan taubat nasuha kepada Allah untuk meninggalkan segala perangai buruk seperti degil untuk tunduk kepada arahan dan tegahan agama, enggan melaksanakan kewajipan syara', suka melewatkan solat dan sebagainya.

    Inilah bulan yang paling baik untuk anda memulakan corak hidup baru yang penuh keimanan, syukur, taat, inabah dan khusyuk dalam mengerjakan solat dan ibadah.

    Inilah masa untuk berhijrah daripada pegangan dan ajaran yang salah dari sudut pemikiran dan budaya kepada kehidupan Islam yang sejati dan hakiki. Inilah saat yang paling sesuai kita berhijrah kepada landasan perjuangan politik Islam dan meninggalkan landasan politik berasaskan kaum atau tanah. Apabila nawaitu dan akidah kita benar maka solat dan puasa serta sedekah akan diterima Allah insya-Allah.Jika tidak segala amal ibadat menjadi sia-sia.

    Dalam bulan yang mulia ini kita boleh membanyakkan sebutan zikir dan doa kepada Allah. Rasulullah menegaskan: Tiga orang yang doa mereka tidak akan dihampakan oleh Allah - orang yang berpuasa hinggalah dia berbuka, penguasa atau pemerintah yang adil dan doa orang teraniaya.(Hadis riwayat Termizi)

    Pada bulan mulia ini juga pahala amal soleh akan digandakan oleh Allah. Sebab itu banyakkan bersedekah; menyumbang bakti dan budi. Nabi adalah seorang yang pemurah, apabila tiba Ramadan baginda adalah orang yang paling banyak memberi dan bersedekah.

    Kepanasan matahari dan suasana yang terik di samping perut yang lapar membentuk seseorang agar tabah dan sabar berhadapan dengan rintangan.; inilah antara hikmat disyariatkan puasa. Ibadah ini mahu mencanai sifat tabah dan semangat yang kental serta azam yang kukuh untuk menjayakan cita-cita murni. Kesabaran ini menyebabkan dia tidak membalas cercaan orang dengan cercaan yang serupa; sebaliknya dengan jiwa besar dia mengatakan kepada mereka: "saya sedang berpuasa."

    Sifat ini akan membawa kepada suasana damai dan tenteram dalam masyarakat.

    Anda tidak perlu memikirkan diri anda boleh melampaui martabat Sayidina Umar justeru martabat Umar martabat yang sukar untuk ditandingi oleh orang seperti kita. Namun saudara boleh bercita-cita untuk menjadi insan terbaik dengan meluruskan niat, membersihkan hati dan meningkatkan kualiti dan jati diri sehingga mencapai darjat kemanusiaan yang mulia dan luhur.

    Saudara boleh menyegerakan taubat kepada Allah beristighfar dan menyesali dosa-dosa yang lalu dan berazam untuk menghindarinya dan memulihkan kesan-kesan buruk terhadap dosa yang sudah berlaku.

    Saudara boleh menyegerakan solat pada waktunya, solat berjemaah dengan berusaha mendapatkan takbir yang pertama bersama imam, menunaikan sunat rawatib dan amal soleh yang lain.

    Banyakkan solat dan qiamullaili dengan berbagai jenis solat sunat yang lain, membaca qunut dan doa pada waktu sahur.

    Saudara juga boleh membiasakan diri dengan tilawah al Quran. Jadikan tilawah sebagai adat dan amalan lazim harian anda. Indahkan al-Quran dengan suara bacaan anda yang merdu, khusyuk dan sayu.

    Sambungkan silaturrahim, ziarahi kerabat dan saudara mara, maafkan kesalahan orang lain, jalin hubungan mesra dengan jiran tetangga dan orang kampung tempat tinggal anda. Banyakkan amalan bersedekah dan menderma.

    Tunaikan zakat harta, keluarkan nafkah untuk anak isteri dan kerabat handai. Bantu golongan miskin dan orang yang tidak berdaya dan golongan tetindas di Mindanao, Pattani, Palestin, Afghanistan, Iraq, Darfur dan lain-lain.

    Bersihkan jiwa dan hati daripada melihat orang lain; lebih-lebih lagi beranggapan para leluhur seperti Umar lebih jelek kedudukannya daripada kita. Sebaliknya kita harus meletakkan penghormatan yang sangat tinggi kepada para sahabat Rasulullah s.a.w. yang disebut oleh oleh baginda sebagai bintang-bintang di langit.

    Siapa sahaja daripada kalangan para sahabat yang kita contohi pasti kita akan mendapat petunjuk. Muliakan kedudukan mereka. Dalam masa yang sama cubalah hidup mencontohi mereka.

    Dalam pada itu jika anda mempunyai rezeki yang cukup untuk menunaikan umrah dalam bulan Ramadan maka bulatkan tekad dan niat untuk menunaikannya dalam bulan puasa ini.

    Rasulullah s.a.w. bersabda: "Penunaian umrah dalam bulan Ramadan menyamai ibadah haji (pahalanya) atau seolah-olah menunaikan haji bersama-samaku." ( Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

    Selanjutnya anda manfaatkanlah bulan Ramadan untuk meningkat usaha jihad menegak dan menobatkan ajaran Islam; sama ada dengan lisan, tulisan, harta mahu pun nyawa. Bulan Ramadan ini bulan menjana perubahan merobohkan kebatilan dan kekufuran dan menegakkan keadilan dan cita-cita Islam. Inilah bulan kemenangan untuk umat Islam insya-Allah.

    Demikianlah beberapa pesanan ringkas saya untuk saudara laksanakan; semoga saudara mendapat tempat dan martabat yang tinggi di sisi Allah Azza Wa Jalla. Wallah a'lam.

    Tazkirah - 25 - 8 Pengertian Cinta Menurut Qur'an

     
    Menurut hadis Nabi, orang yang sedang jatuh cinta cenderung selalu mengingat dan menyebut orang yang dicintainya (man ahabba syai'an katsura dzikruhu), kata Nabi, orang juga bisa diperbudak oleh cintanya (man ahabba syai'an fa huwa `abduhu). Kata Nabi juga, ciri dari cinta sejati ada tiga :
        (1) lebih suka berbicara dengan yang dicintai dibanding dengan yang lain,
        (2) lebih suka berkumpul dengan yang dicintai dibanding dengan yang lain, dan
        (3) lebih suka mengikuti kemauan yang dicintai dibanding kemauan orang lain/diri sendiri.  

    Bagi orang yang telah jatuh cinta kepada Allah SWT, maka ia lebih suka berbicara dengan Allah Swt, dengan membaca firman Nya, lebih suka bercengkerama dengan Allah SWT dalam I`tikaf, dan lebih suka mengikuti perintah Allah SWT daripada perintah yang lain.

    Dalam Qur'an cinta memiliki 8 pengertian berikut ini penjelasannya:

    1. Cinta mawaddah adalah jenis cinta mengebu-gebu, membara dan "nggemesi". Orang yang memiliki cinta jenis mawaddah, maunya selalu berdua, enggan berpisah dan selalu ingin memuaskan dahaga cintanya. Ia ingin memonopoli cintanya, dan hampir tak bisa berfikir lain.

    2. Cinta rahmah Adalah jenis cinta yang penuh kasih sayang, lembut, siap berkorban, dan siap melindungi. Orang yang memiliki cinta jenis rahmah ini lebih memperhatikan orang yang dicintainya dibanding terhadap diri sendiri. Baginya yang penting adalah kebahagiaan sang kekasih meski untuk itu ia harus menderita. Ia sangat memaklumi kekurangan kekasihnya dan selalu memaafkan kesalahan kekasihnya. Termasuk dalam cinta rahmah adalah cinta antar orang yang bertalian darah, terutama cinta orang tua terhadap anaknya, dan sebaliknya. Dari itu maka dalam al Qur'an , kerabat disebut al arham, dzawi al arham , yakni orang-orang yang memiliki hubungan kasih sayang secara fitri, yang berasal dari garba kasih sayang ibu, disebut rahim (dari kata rahmah). Sejak janin seorang anak sudah diliputi oleh suasana psikologis kasih sayang dalam satu ruang yang disebut rahim. Selanjutnya diantara orang-orang yang memiliki hubungan darah dianjurkan untuk selalu ber silaturrahim, atau silaturrahmi artinya menyambung tali kasih sayang. Suami isteri yang diikat oleh cinta mawaddah dan rahmah sekaligus biasanya saling setia lahir batin-dunia akhirat.

    3. Cinta mail Adalah jenis cinta yang untuk sementara sangat membara, sehingga menyedot seluruh perhatian hingga hal-hal lain cenderung kurang diperhatikan. Cinta jenis mail ini dalam al Qur'an disebut dalam konteks orang poligami dimana ketika sedang jatuh cinta kepada yang muda (an tamilu kulla al mail), cenderung mengabaikan kepada yang lama.

    4. Cinta syaghaf. Adalah cinta yang sangat mendalam, alami, orisinil dan memabukkan. Orang yang terserang cinta jenis syaghaf (qad syaghafaha hubba) bisa seperti orang gila, lupa diri dan hampir-hampir tak menyadari apa yang dilakukan. Al Qur'an menggunakan term syaghaf ketika mengkisahkan bagaimana cintanya Zulaikha, istri pembesar Mesir kepada bujangnya, Yusuf.

    5. Cinta ra'fah, Yaitu rasa kasih yang dalam hingga mengalahkan norma-norma kebenaran, misalnya kasihan kepada anak sehingga tidak tega membangunkannya untuk salat, membelanya meskipun salah. Al Qur'an menyebut term ini ketika mengingatkan agar janganlah cinta ra`fah menyebabkan orang tidak menegakkan hukum Allah, dalam hal ini kasus hukuman bagi pezina (Q/24:2).

    6. Cinta shobwah, Yaitu cinta buta, cinta yang mendorong perilaku penyimpang tanpa sanggup mengelak. Al Qur'an menyebut term ni ketika mengkisahkan bagaimana Nabi Yusuf berdoa agar dipisahkan dengan Zulaiha yang setiap hari menggodanya (mohon dimasukkan penjara saja), sebab jika tidak, lama kelamaan Yusuf tergelincir juga dalam perbuatan bodoh, wa illa tashrif `anni kaidahunna ashbu ilaihinna wa akun min al jahilin (Q/12:33)

    7. Cinta syauq (rindu). Term ini bukan dari al Qur'an tetapi dari hadis yang menafsirkan al Qur'an. Dalam surat al `Ankabut ayat 5 dikatakan bahwa barangsiapa rindu berjumpa Allah pasti waktunya akan tiba. Kalimat kerinduan ini kemudian diungkapkan dalam doa ma'tsur dari hadis riwayat Ahmad; wa as'aluka ladzzata an nadzori ila wajhika wa as syauqa ila liqa'ika, aku mohon dapat merasakan nikmatnya memandang wajah Mu dan nikmatnya kerinduan untuk berjumpa dengan Mu.
    Menurut Ibn al Qayyim al Jauzi dalam kitab Raudlat al Muhibbin wa Nuzhat al Musytaqin, Syauq (rindu) adalah pengembaraan hati kepada sang kekasih (safar al qalb ila al mahbub), dan kobaran cinta yang apinya berada di dalam hati sang pecinta, hurqat al mahabbah wa il tihab naruha fi qalb al muhibbi

    8. Cinta kulfah. Yakni perasaan cinta yang disertai kesadaran mendidik kepada hal-hal yang positip meski sulit, seperti orang tua yang menyuruh anaknya menyapu, membersihkan kamar sendiri, meski ada pembantu. Jenis cinta ini disebut al Qur'an ketika menyatakan bahwa Allah tidak membebani seseorang kecuali sesuai dengan kemampuannya, la yukallifullah nafsan illa wus`aha (Q/2:286)

    Isnin, 22 September 2008

    Tazkirah - 24 - Puasa tak berkesan - dimana silapnya?

     
    Seorang penjual ubat akar kayu warga emas kelihatan ceria dan wajah berseri bersih, seola-olah baru pulang dari mengerja haji. Bibirnya kumat kumit membaca sesuatu sambil tangannya meracit akar kayu yang sudah kering untuk dijadikan ubat. Walaupun premisnya cuma di kaki lima, namun dia bersyukur kerana dapat mencari rezeki halal untuk menyara dirinya.

    Tiga orang lelaki berpakaian kemas tiba-tiba menuju ke tempat orang tua itu untuk mencari ubat dari jenis herba yang banyak disusun di hadapannya.

    Sambil memilih bungkusan kecil yang mengandungi akar kayu, tiba-tiba tergetus hati salah seorang dari mereka untuk bertanya kenapa puasa Ramadan yang dikerjakan setiap tahun semacam tidak mendatangkan apa-apa perubahan kepada dirinya, seolah-olah ibadat puasa seperti adat sahaja.

    Sambil merenung ke dalam wajah pemuda itu, orang tua yang berpakaian selekeh itu tersenyum kecil lalu menjawab:

    1. Ramadan sepatutnya disambut oleh umat Islam dengan perasaan gembira kerana ia membawa 1001 keberkatan dan fadilat yang tidak terdapat pada bulan lain, tetapi kamu menerima kedatangannya seperti menerima kehadiran tamu yang tidak diundang kerana terbayang berbagai kesukaran yang bakal kamu tempuhi untuk memenuhi nafsu kamu

    2. Kamu menyambut Ramadan kononnya, tapi fokus utama kamu ialah hari raya.

    3. Umat Islam tahu Ramadan bulan penuh keberkatan, tapi terlalu jarang yang sudi merebutnya kerana tidak terasa terpanggil untuk mendapatkannya.

    4. Ramadan mendidik seseorang supaya bersimpati terhadap golongan miskin. Tapi kamu langsung tidak mempedulikan kesusahan mereka. Malah kamu melihat mereka seperti sampah di tepi jalan.

    5. Kamu berpuasa sehari suntuk tanpa meyentuh makanan. Tapi semasa berbuka kamu menyendatkan perut kamu yang kosong itu dengan anika jenis makanan dan minuman yang jarang kamu hidangkan pada bulan-bulan lain. Ibadat puasa bertukar menjadi pesta mengisi perut untuk memenuhi nafsu makan kamu yang haloba.

    6. Mengimarahkan masjid dengan pengisian solat terawih dan lain-lain ibadat sunat adalah besar fadilatnya, tapi kamu menghabiskan waktu di pasar Ramadan dan gedung membeli belah sehingga larut malam.

    7. Sejak awal pagi kamu sibuk dengan aktiviti perniagaan dan ianya berterusan hingga ke malam tanpa sempat mengisi dengan aktiviti ibadat. Akhirnya tanpa disedari, Ramadan sampai di penghujung sedangkan kamu masih tamak mengejar keuntungan perniagaan yang hanya dapat diraih dalam bulan Ramadan sahaja.

    8. Ramadan mendidik jiwa supaya tidak boros dan membazir, tetapi kamu berbelanja berlipat kali ganda berbanding dengan bulan-bulan lain, bermula dari perbelanjaan untuk menyedia makanan yang lazat sewaktu berbuka dan bersahur hinggalah kepada persiapan untuk menyambut hari raya.

    9. Tujuan syarak mewajibkan berpuasa adalah supaya kamu berkungsi pengalaman perit tanpa makan dengan mereka yang hidup melarat akibat kemiskinan atau ditimpa bencana, tapi perasaan tersebut langsung tidak meresap ke dalam jiwa kamu. Sebaliknya sikap tamak dan bakhil kamu terus menebal sehingga menganggap mereka yang datang meminta sedikit pertolongan dan sumbangan kepada kamu, sebagai menyusahkan kamu. Jika pun kamu menghulur sumbangan, pemberian kamu adalah dengan berat hati dan menunjukkan muka yang masam tanda tidak ihklas.

    10. Kamu mengadakan majlis berbuka puasa di rumah atau di hotel lima bintang dengan juadah yang mewah dan mahal. Tamu undangan kamu terdiri dari rakan bertaraf orang kenamaan dan kaya, sedang jiran kamu yang daif dan miskin tidak termasuk dalam senarai undangan. Kamu sebenarnya melakukan ibadat tersebut dalam keadaan riya'.

    11. Kamu mengunjungi masjid untuk menunaikan solat terawih berjamaah sebagai menunaikan kegiatan qiyamullail di bulan Ramadan, namun dalam hati sering merungut bacaan imam yang panjang kerana tidak mahu menghabiskan masa yang panjang di masjid rumah Allah.

    12. Ramadan melatih kamu supaya bersabar, tetapi semasa memandu, tindak tanduk kamu ternyata hilang sabar. Tangan kamu menekan horn memanjang tanda marah apabila kenderaan lain mengganggu kelancaran kenderaan kamu sambil mulut menyumpah-nyumpah.

    Setelah selesai menjawab, orang tua itu meminta maaf jika jawapannya itu menyinggung perasaan tiga lelaki tersebut. Tanpa membeli ubat, mereka terus beredar kerana pil pahit yang diberi percuma oleh penjual ubat itu sudah cukup untuk merawat ibadat puasanya yang sekian lama terjejas.

    Tazkirah - 23 - Memikirkan Nabi yang selalu tiada makanan

    Oleh Dinsman

    Kira-kira lima tahun lalu saya bersama Nasir Jani membuat sebuah dokumentari video mengenai "Puasa Ramadan di Malaysia". Hari ini saya tiba-tiba teringat - bukan kepada VCD yang sudah siap itu, tetapi kepada satu masalah besar waktu membuat penggambaran untuk mengumpul bahan dokumentari itu.

    Apa masalahnya? Masalahnya ialah kebanyakan bahan visual yang dapat kami kumpulkan rupa-rupanya adalah mengenai peristiwa orang makan. Sedangkan dokumentari itu mengenai orang Malaysia menahan diri tidak makan di siang hari sepanjang bulan Ramadhan. Dia jadi terbalik. Songsang.

    Tetapi memang pun banyak peristiwa makan. Betul, orang Islam dewasa tidak makan di siang hari. Tetapi menjelang petang terdapat satu kesibukan orang hendak membeli makanan, yang luar biasa sibuknya, di mana-mana, di seluruh negara. Pasar atau bazar Ramadan tiba-tiba muncul di sana sini. Hal yang tidak pernah terjadi di luar bulan Ramadan. Ia suatu pesta makanan yang paling besar di dunia.

    Mengapa ia terjadi songsang begitu? Tentulah bukan begitu yang diajarkan Nabi.

    Itulah persoalan saya lima tahun lalu, dan masih menjadi persoalan hingga kini. Bahkan ia berkembang lagi, apabila fikiran saya tersangkut pada cerita-cerita Nabi Muhammad s.a.w. yang dikisahkan selalu mengalami lapar, perut kosong kerana tidak makan, hingga ada waktunya terpaksa perutnya diikat dengan batu.

    Rasulullah ikat batu di perut

    Sukar hendak saya bayangkan bagaimana perut kosong yang perlu dibantu supaya tidak terasa terlalu pedih kelaparan, dengan mengikatkan ketul-ketul batu pada perut itu. Tak boleh. Saya gagal merasionalkannya. Tidakkah perbuatan itu akan menimbulkan rasa sakit pula di perut itu kerana adanya batu-batu yang diikat padanya?

    Saya kebetulan sedang membaca beberapa buah buku yang di dalamnya terdapat cerita-cerita berkenaan. Misaalnya buku "Muhammad s.a.w. Insan Teladan Sepanjang Zaman" hasil karya Tok Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang baru diterbitkan oleh Anbakri Publika.

    Antara lain digambarkan sewaktu membuat persiapan Perang al-Ahzab, Rasulullah turut bersama-sama dengan para sahabat, memerah keringat menggali parit untuk benteng pertahanan. "Baginda turut memunggah tanah dan batu-batu yang berat, menyebabkan seluruh fizikal merasai sakit, terasa pedih hingga ke pangkal hati."

    "Untuk mengurangkan kepedihan akibat rasa lapar, Rasulullah s.a.w. mengambil beberapa ketul batu, kemudian dibalut dengan kain dan mengikat ketat pada perutnya. Baginda berbuat begitu selain untuk mengurangkan rasa lapar, juga untuk mengelakkan daripada kecederaan akibat bekerja berat dalam keadaan perut kosong." (ms 45)

    Dan bayangkanlah. Walaupun terpaksa menahan lapar, Nabi dan para sahabat bekerja menggali parit itu dalam keadaan gembira dan bersemangat. Kata Nik Aziz, "Ketika menggali parit, para sahabat bersajak dan bersyair untuk membangkitkan semangat juang. Rasulullah s.a.w. juga turut bernasyid bersama-sama mereka." (ms 34)

    Rasulullah tiga hari tak makan

    Kemudian ketika membaca buku Meraih Ampunan Allah (terjemahan) karangan Jamilah al-Mashri (2004, Jakarta), terdapat pula cerita yang diriwayatkan Imam Ahmad dan Tabrani, bahawa pada suatu hari Fatimah (r.a) memberikan sekeping roti kepada ayahnya Muhammad s.a.w. Nabi mengambil dan berkata: "Ini adalah makanan pertama yang dimakan ayahmu sejak tiga hari yang lalu."

    Rasulullah solat duduk kerana kelaparan

    Bayangkan Rasulullah tiga hari tak makan! Kemudian ada pula riwayat bahawa Abu Hurairah berkata, "Aku menemui Nabi s.a.w. ketika baginda sedang solat sambil duduk, lalu aku bertanya: 'Wahai Rasulullah, aku melihatmu solat dalam keadaan duduk. Apa yang menimpamu?' Baginda menjawab: 'Lapar, wahai Abu Hurairah'." (ms 230)

    Dan ada beberapa peristiwa lagi dari sirah Rasulullah, yang melekat dalam fikiran saya, menyebabkan saya berfikir - alangkah berbezanya, dan jauhnya perbezaan antara corak hidup kita hari ini dengan corak hidup Rasulullah dan para sahabat di zaman itu.

    Rasulullah tidak daif

    Tentulah itu bukan cerita kedaifan. Nabi Muhammad mempunyai segala peluang untuk menjadi orang terkaya di zaman itu, sekiranya dia memilih untuk menjadi kaya. Dia sendiri sejak muda telah terkenal dengan bakat berniaganya, hingga tokoh korporat zaman itu, Khadijah, mengamanahkan perniagaan kepadanya.

    Para sahabat seperti Uthman bin Affan dan Abdul Rahman bin Auf adalah orang-orang kaya yang banyak harta, dan sentiasa mahu menyumbang. Kemudian hasil rampasan perang pun, mengikut Jamilah al-Mashri, boleh memberikan kekayaan kepada Nabi sekiranya baginda mahu mengambil bahagiannya.

    Katanya, "Seandainya Rasul s.a.w. mau menegumpulkan harta, nescaya baginda menjadi manusia terkaya. Seperlima harta rampasan dari Perang Hunain saja sudah mencapai 8,000 ekor kambing, 4,800 unta, 8,000 auns perak serta 1,200 tawanan." (ms 138)

    Sahabat rebah ke tanah kerana lapar

    Mengisahkan seorang sahabat yang juga mengalami lapar, Nik Aziz di dalam bukunya mencatatkan: "Abu Hurairah r.a, berkata: Bahawa pada suatu ketika aku rebah ke tanah kerana terlalu lapar. Orang yang melihat aku tergeletak di tanah mengatakan aku terkena penyakit sawan. Sebenarnya aku tidak terkena penyakit sawan, tetapi aku rebah kerana terlalu lapar.

    Tiba-tiba ada sahabat memberitahu bahawa Rasulullah s.a.w. menyuruh aku pergi ke rumahnya. Menerima jemputan itu tiba-tiba tubuh aku menjadi segar, kerana lazimnya jika Rasulullah saw menjemput kami ke rumahnya bererti ada makanan yang hendak dihidangkan kepada kami." (ms 35)

    Membaca sirah Rasulullah dan para sahabat berulangkali dari pelbagai sudut, saya bukan saja merasai perbezaan corak hidup mereka yang ketara itu, tetapi juga merasai beberapa pertanyaan yang mendesak, memerlukan pemahaman yang lebih rasional dan wajar.

    Misalnya, dua tahun lalu saya pernah mengutip idea dan pemikiran Abul Hasan Ali An-Nadwi dari bukunya Pertentangan Iman dengan Materialisma, untuk dialog drama pentas saya yang berjudul "Tamu Dari Medan Perang".

    Rasulullah tidur atas pasir!

    Dalam drama tersebut watak Mufti membacakan sebuah hadis, begini: "Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, daripada Umar ibnul Khattab, katanya: Pada suatu hari saya masuk menemui Rasulullah s.a.w. di rumahnya, baginda sedang berbaring di atas pasir. Baginda tidak menggunakan sebarang alas bagi mengalaskan antara tubuhnya dengan pasir. Kesan-kesan pasir kelihatan jelas di bahagian rusuknya.

    "Begitulah Rasulullah s.a.w. Bukan baginda tidak mampu. Kalau baginda mahu, bukan baginda tidak mampu untuk mengadakan lantai yang beralas atau membina rumah yang besar dan mewah sekalipun. Baginda mampu mengadakan semua itu, kalaulah itu yang baginda pilih. Tetapi baginda tidak memilih yang itu."

    Kehidupan kita sudah lari dari Sunnah!

    Meneruskan pemikiran itu di hari-hari Ramadan al-mubarak, saya jadi bertambah yakin bahawa corak hidup kita sudah jauh terpesong dari landasan yang ditunjukkan Nabi. Jauh betul terpesongnya. Dan rupa-rupanya inilah yang selalu ditekankan Tok Guru Nik Aziz dalam kuliah-kuliah dan juga dalam kepimpinannya.

    Tepat sekalilah beliau bertanya Ketua Audit Negara yang menegur jabatan dan agensi kerajaan Kelantan "tidak menunjukkan kemajuan ketara". Kata Nik Aziz: "Saya nak tahu apa definisi maju tu dulu. Ukuran maju ke tak maju ni dikira dari mana." Soalan itu sebenarnya untuk difikirkan oleh semua orang hari ini.

    ———–

    Penulis boleh dihubungi dengan emel dinsman_49@yahoo.com.myAlamat email ini telah dilindungi dari spam bots, anda perlukan Javascript enabled untuk melihatnya atau sms 0136362408