Allah mengulangi kisah Adam dan Iblis di beberapa tempat dalam al-Quran. Barangkali bagi mereka yang kurang memahami al-Quran akan menganggap itu adalah pengulangan biasa yang tidak memberikan apa-apa impak yang berlainan. Sebenarnya, sudah pasti tidak!
Al-Quran adalah kitab yang tersusun dengan segala mukjizat yang membuktikan kebesaran Allah Yang Menurunkannya. Pengulangan cerita itu disebabkan faktor-faktor tersendiri yang menuntut kisah Adam dan Iblis itu dibangkitkan semula. Kisah tersebut adalah tonggak panduan kepada kehidupan manusia atas muka bumi ini.
Kisah Adam dan Iblis diketahui oleh semua muslim, bahkan ia juga terkandung dalam Bible. Ringkas ceritanya Iblis yang enggan memberikan penghormatan kepada Adam seperti mana yang Allah perintahkan. Bahkan dia mempertikaikan arahan tersebut. Lantas dia dihukum kufur dan dilaknat.
Sementara Adam yang ditempatkan di syurga, kemudiannya telah ditipu oleh Iblis yang menyebabkan dia melanggar arahan Allah agar jangan mendekati pokok larangan. Kesannya, dia dihukum dengan ditempatkannya di atas muka bumi namun disertai dengan keampunan dan rahmat Allah.
Firman Allah dalam Surah al-Baqarah, ayat 34-37:
(maksudnya) Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada malaikat: "Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam", lalu mereka semua tunduk melainkan Iblis; dia enggan dan takbur, dan menjadilah dia daripada golongan yang kafir. Dan Kami berfirman: "Wahai Adam! Tinggalah engkau dan isterimu dalam syurga, dan makanlah daripada makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua sukai, dan janganlah kamu berdua hampiri pokok ini; (jika kamu menghampirinya) maka akan menjadilah kamu daripada golongan zalim. Setelah itu maka syaitan menggelincirkan mereka berdua dari syurga itu dan menyebabkan mereka dikeluarkan dari nikmat yang mereka telah berada dalamnya dan Kami berfirman: "Turunlah kamu! sebahagian kamu menjadi musuh kepada sebahagian yang lain dan bagi kamu semua disediakan tempat kediaman di bumi, serta mendapat kesenangan hingga ke suatu masa (mati)". Kemudian Nabi Adam menerima dari Tuhannya beberapa kalimah (kata-kata pengakuan taubat yang diamalkannya), lalu Allah menerima taubatnya; sesungguhnya Allah, Dia lah Yang Maha Pengampun (Penerima taubat), lagi Maha Mengasihani".
Pada mereka yang tidak faham kisah ini mungkin menganggap adanya 'double standard' dalam hukuman Tuhan terhadap dua makhluknya yang berbeza. Setiap mereka telah melakukan satu kesalahan, tetapi yang satu dihukum begitu berat sehingga kiamat, sementara satu yang lain dihukum dengan hukuman yang tidak kelihatan terlalu berat, bahkan diampun dan dirahmati.
Sekali pandang tanpa penelitian, mungkin ada yang tersalah anggap, seakan Iblis memang sengaja hendak dihukum demikian rupa, sedangkan Adam pula diampunkan, padahal sama-sama melakukan satu kesalahan.
Sebenarnya tidak! Sama sekali tidak sama antara kesalahan Iblis dan Adam. Iblis menderhakai Allah atas kesombongan dan ketakaburan. Dia bukan sahaja tidak taat kepada arahan Allah, tetapi dia mencabar peraturan atau hukum yang telah Allah tetapkan. Dia menganggap hukum itu tidak wajar, sekaligus dia mencabar kemutlakan hak Allah dalam menetapkan hukum.
Sementara Adam melakukan penderhakaan disebabkan kecuaian, kesilapan dan mengikut perasaan sehingga melupai hukum. Dalam Surah al-A'raf, Allah menceritakan bagaimana jawapan Iblis terhadap penderhakaannya, firman Allah: (maksudnya):
"Apakah yang menghalangmu untuk sujud ketika Aku perintahkanmu?" Iblis menjawab: "Aku lebih baik daripada Adam, Engkau (Wahai Tuhan) jadikan daku daripada api, sedangkan dia Engkau jadikan dari tanah". (ayat 12).
Namun Adam yang juga bersalah tidak pernah mencabar peraturan Allah. Adam tidak pernah menyatakan bahawa kewujudan pokok berkenaan di syurga amat tidak sesuai dan boleh mengelirukan maka dia tidak patut dianggap bersalah. Tidak pula Adam mempertikaikan mengapa Iblis itu diwujudkan dan diberi peluang menggodanya.
Sebaliknya, dengan penuh keinsafan dan perasaan kehambaan akur atas kesalahan diri lantas memohon keampunan dan taubat. Dalam Surah al-A'raf juga Allah menyebut: (maksudnya)
"Dengan sebab itu dapatlah dia (Iblis) menjatuhkan mereka berdua (ke dalam larangan) dengan tipu dayanya. Setelah mereka memakan (buah) pohon itu, terdedahlah kepada mereka berdua aurat masing-masing, dan mereka mulailah menutupnya dengan daun-daun (daripada) syurga lantas Tuhan mereka menyeru mereka: "Bukankah Aku telah melarang kamu berdua dari pokok itu, dan aku katakan kepada kamu, bahawa syaitan itu adalah musuh kamu yang nyata?" Mereka berdua berkata: "Wahai Tuhan kami, Kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalaulah Engkau tidak mengampunkan kami dan kasihani kami, nescaya kami tergolong daripada orang-orang yang rugi". (ayat 22-23).
Kesalahan memang kesalahan. Namun titik tolak kesalahan dan sikap atas kesalahan amat berbeza antara Iblis dan Adam. Iblis bukan sahaja menderhaka, bahkan mempertikaikan atau meremehkan peraturan Allah.
Sedangkan Adam dan isterinya, apabila melakukan dosa, menginsafi diri dan memohon keampunan Allah atas dosa tersebut. Justeru itu, hukuman Allah ke atas dua makhluknya tersebut tidak sama disebabkan perbezaan nilai kesalahan, bukan kerana Tuhan itu menghukum secara 'double standard'.
Kisah Iblis dan Adam diulang berkali-kali dalam al-Quran agar kita mengambil pengajaran dalam kehidupan. Setiap ulangan ada isu dan pengajarannya yang tersendiri. Kita seperti bapa kita Adam, terdedah kepada salah dan silap, cuai dan alpa yang akhirnya menjerumuskan kita ke dalam dosa.
Namun, seperti mana bapa kita Adam, kita tidak akan mempertikaikan hukum atau peraturan yang Allah tetapkan. Kita akui kelemahan diri, tanpa kita menghalalkan kesalahan dan dosa dengan alasan yang menunjukkan kita meremehkan hukum Tuhan.
Kita bukan Iblis yang apabila berdosa bersikap takabur dan enggan akur atas kelemahan diri, sebaliknya menuding sesalahan kepada peraturan yang Allah tetapkan. Sesiapa yang bertindak seperti Iblis, maka dia menjadi kafir. Sementara sesiapa yang bersikap seperti Adam, maka dia mendapat keampunan tuhannya.
Allah menceritakan kisah bapa kita Adam, agar kita mencontohinya apabila melakukan kesalahan. Melakukan kesalahan bukan perkara yang paling menimbulkan kemurkaan Allah, tetapi enggan akur dan bertaubat itulah membawa kemurkaan besar di sisiNya.
Kita anak Adam, teladani sikap bapa kita. Sabda Nabi s.a.w.
"Semua anak Adam melakukan kesalahan. Sebaik-baik yang melakukan kesalahan itu ialah mereka yang bertaubat" (Riwayat al-Tirmizi, Ibn Majah, dinilai hasan oleh al-Albani).
Kisah Adam dan Iblis menjadi paksi dalam banyak episod kehidupan insan. Sebab itu dalam Islam sesiapa yang membuat dosa dan menghalalkan tindakannya maka dia menjadi kafir. Sementara sesiapa yang membuat dosa namun tidak menghalalkannya maka dia dianggap sebagai seorang fasiq (ahli dosa), namun tidak membawa kepada kufur. Melainkan jika dia bertaubat.
Ini seperti sesiapa yang tidak berpuasa Ramadan tanpa sebab yang diizinkan oleh syarak, maka dia berdosa dan menjadi fasik. Namun jika dia menghalalkan perbuatannya itu seperti menyatakan 'bagi aku tidak salah jika aku tidak berpuasa pun', atau dia mempertikaikan hukum seperti dia menyatakan 'syariat puasa itu tidak sesuai atau tidak ada sebarang faedah untuk kita ikut' maka dia menjadi kafir, terkeluar dari Islam. Ini kerana dia mempertikaikan atau mencabar Allah Yang Maha Agung.
Perbuatan yang seperti itulah yang dilakukan oleh Iblis lalu dihukum kufur oleh Allah. Sama juga dengan pelaku dosa. Jika seseorang berzina maka dia berdosa dan fasiq (fasik). Namun, jika menghalalkan perbuatan zina seperti menyatakan 'apa salahnya jika suka sama suka', atau dia menyatakan 'jika pasangan dah rela, mana boleh berdosa', atau menyebut 'zina macam sedekah, jika orang bagi tidak salah kita mengambilnya' maka pengucap ungkapan-ungkapan yang seperti ini terkeluar dari Islam. Ini kerana dia telah mempertikaikan hukum Allah dan mencabar apa yang telah ditetapkanNya.
Dia seperti Iblis, yang mempertikaikan arahan Allah. Melainkan jika dia hilang akal atau gila atau apa sahaja yang menunjukkan dia tidak bermaksud mempertikaikan, atau meremehkan hukum Allah sama sekali
Saya amatlah terkejut apabila ada 'orang politik' yang sanggup menyamakan zina yang dia akui melakukannya dengan sedekah yang disuruh oleh Islam. Sanggup dia menghalalkan perbuatannya yang buruk itu atas alasan dia diumpan oleh orang lain, maka itu baginya macam sedekah yang jika 'diberi boleh diambil'.
Alangkah buruk perbuatan dan akidahnya. Dia samakan perkara yang Allah murka dengan perkara yang Allah suka. Apa yang lebih pelik, tidak pula kedengaran dengan jelas tokoh-tokoh agama dalam kem politik 'si celupar itu' mengulas perkara ini. Padahal ramai di kalangan mereka yang begitu tangkas dan cepat bertindak jika ada ucapan-ucapan yang menyalahi agama dibuat oleh musuh-musuh politik mereka.
Bahkan ucapan yang masih lagi samar dan boleh diberi maksud yang berbagai pun dibantai sampai tidak cukup tanah. Tiba-tiba apabila kena giliran sahabat sendiri yang mengucapkan perkataan yang buruk lagi parah itu, ramai yang menyepi diri. Tiada yang berani menyuruh dia bertaubat dan menarik balik secara terbuka, bukan menyuruh orang lain 'berbahasa' untuknya.
Di mana isu-isu agama dan moral yang diperkatakan selama ini? Ternyata, hukuman politik berbau agama tidak sama dengan pendirian agama mengenai isu politik. Bukan saya ingin bermusuh dengan sesiapa. Kolum saya ini telah mengambil risiko menegur rakyat dan pemerintah. Apakah mereka hanya dapat terima apabila saya menegur pemerintah, tetapi membantah jika mereka ditegur? Atau apakah mereka hanya berani menegur pemerintah dan mendiamkan diri apabila kesalahan itu dibuat oleh 'geng sendiri'?.
Sabda Nabi s.a.w:
"Sesungguhnya yang membinasakan mereka yang terdahulu dari kamu adalah; apabila orang yang berkedudukan mencuri maka mereka biarkan, jika orang yang lemah mencuri maka mereka laksanakan hukuman ke atasnya". (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Berbalik kepada kisah Adam dan Iblis. Kisah ini menjadi teras dalam akidah Islam. Islam agama yang akur bahawa insan sentiasa terdedah kepada dosa dan kesalahan. Selagi mana insan insaf bahawa kesalahan itu berpunca daripada kelemahan dirinya sendiri, dia mempunyai ruang untuk kembali dan bertaubat kepada Allah.
Namun apabila insan yang melakukan dosa itu sombong dan bongkak dengan merasakan dia tidak bersalah atas perbuatannya, maka tempatnya bersama dengan Iblis yang menghuni tetap neraka yang amat dahsyat. Firman Allah dalam Surah Sad:
(maksudnya) (setelah selesai kejadian Adam) maka sujudlah sekalian malaikat, semuanya sekali, -Melainkan Iblis; dia berlaku sombong takbur (mengingkarinya) serta menjadilah dia dari golongan yang kafir. Allah berfirman: "Hai lblis! apa yang menghalangmu dari turut sujud kepada (Adam) yang Aku telah ciptakan dengan kekuasaanKu? Adakah engkau berlaku sombong takbur, ataupun engkau dari golongan yang tertinggi? Iblis menjawab: "Aku lebih baik daripadanya; Engkau (Wahai Tuhanku) ciptakan daku dari api, sedang dia Engkau ciptakan dari tanah". Allah berfirman: "Kalau demikian, keluarlah engkau daripadanya, kerana eesungguhnya engkau adalah makhluk yang diusir. dan sesungguhnya engkau ditimpa laknatKu terus menerus hingga ke hari kiamat!". Iblis berkata: " Wahai Tuhanku! jika demikian, berilah tempoh kepadaku hingga ke hari mereka dibangkitkan (hari kiamat) ". Allah berfirman: " Dengan permohonanmu itu, maka sesungguhnya engkau dari golongan yang diberi tempoh, hingga ke hari yang termaklum ". Iblis berkata: "Demi kekuasaanmu (Wahai Tuhanku), aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali hamba-hambaMu (zuriat Adam) yang dibersihkan". Allah berfirman: "Maka Akulah Tuhan Yang sebenar-benarnya, dan hanya perkara Yang benar Aku firmankan -Demi sesungguhnya! Aku akan memenuhi neraka jahannam dengan jenismu dan dengan orang-orang yang menurutmu daripada zuriat-zuriat Adam (yang derhaka) semuanya ". (ayat 73-85).
Setiap kita ini ada kelemahan diri dan kesalahan yang kita lakukan. Namun sebagai insan yang merupakan zuriat Adam, kita sentiasa akur atas kelemahan dan kesalahan, inginkan keampunan serta memohon kemaafan Tuhan selalu. Kita tidak akan mempertikaikan apa yang telah Allah nyatakan dalam kitabNya al-Quran atau dalam sunnah yang sahih daripada Nabi Muhammad s.a.w.
Jika kita gagal melaksanakan perintah Allah, atau melanggar larangannya kita akan akui kelemahan diri, memohon agar dikurniakan taubat yang ikhlas. Sama sekali kita tidak kata hukum Allah tidak baik. Atau tidak sesuai. Atau halal dan haram itu sama sahaja. Atau, bagiku perkara yang Allah haramku itu tidak haram. Tidak! Sama sekali tidak! Hanya pengikut Iblis yang mengucapkan seperti itu. Kita akan menyebut apa yang Allah ajar:(maksudnya)
"Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. (Surah al-Baqarah, ayat 286).